PDK Wadah Kerjasama Komuniti Dan Agensi – Noraini
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) adalah salah satu strategi dalam pembangunan komuniti untuk rehabilitasi, penyamaan peluang dan integrasi sosial bagi Orang Kurang Upaya (OKU).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata PDK itu dilaksanakan melalui pendekatan multi-sektoral dengan memanfaatkan fasiliti serta kemudahan yang sedia ada.
“Program ini dilaksanakan melalui pendekatan multi-sektoral dengan penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), OKU, keluarga dengan disokong oleh agensi kerajaan, swasta, serta pemimpin tempatan melalui perkhidmatan kesihatan, pendidikan, vokasional dan sosial dengan menggunakan sumber dan kemudahan setempat.
“Tujuan utama PDK didaftar sebagai NGO adalah untuk memastikan pengurusan kewangan dan aset atau fasiliti diurus mengikut tatacara pengurusan kewangan NGO seperti yang ditetapkan oleh ROS.
“Selaku pihak yang melantik penyelia atau petugas PDK, pertubuhan PDK boleh membayar elaun kepada penyelia dan petugas PDK dengan kadar yang dipersetujui bersama,” katanya.
Beliau menjawab soalan dari Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyatakan, adakah terdapat sebarang perancangan bagi menaikkan elaun pelatih petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bagi sekurang-kurangnya menyamai paras gaji minimum di Dewan Rakyat hari ini.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan NGO selaku pihak berkuasa yang melantik penyelia dan petugas serta bertanggungjawab dalam pengurusan PDK boleh menentukan kadar bayaran elaun atau sagu hati kepada petugas dan penyelia tertakluk kepada kedudukan kewangan pertubuhan masing-masing.
“Kerajaan telah memberikan peruntukan sebagai tanda sokongan kepada pelaksanaan PDK dalam bentuk geran pengoperasian. Pada tahun ini sebanyak RM143.1 juta telah diperuntukan kepada 579 buah Pusat PDK yang memberi manfaat kepada 20,801 orang OKU di seluruh negara serta melibatkan seramai 579 orang penyelia dan 2,849 orang petugas PDK yang membantu mengendalikan program PDK termasuk tiga (3) buah Pusat PDK di Parlimen Jelebu.
“Sebagai tanda keprihatinan Kerajaan serta perkongsian tanggungjawab sosial, Kerajaan telah meluluskan dua (2) kali kenaikan elaun penyelia dan petugas pada tahun 2008 iaitu kenaikan bagi penyelia daripada RM800.00 kepada RM1,200.00 dan petugas daripada RM500.00 kepada RM800.00,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong, ianya diikuti pada tahun 2021 iaitu kenaikan bagi Penyelia daripada RM1,200.00 kepada RM1,500.00 dan Petugas daripada RM800.00 kepada RM1,200.00. – UMNO Online