Keuntungan TNB, Kemajuan Projek 5G Tumpuan Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kadar keuntungan tahunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas kenaikan tarif elektrik serta kemajuan projek teknologi selular tanpa wayar generasi kelima (5G) menjadi antara tumpuan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi soal jawab lisan meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan jumlah keuntungan tahunan serta tambahan keuntungan TNB selepas kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersial berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Beliau turut bertanya sama ada kenaikan tarif 14.2 peratus itu boleh ditangguhkan atau dipecahkan secara berperingkat memandangkan keuntungan TNB dilaporkan meningkat lebih 70 peratus pada tahun lepas.

Sementara itu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mengemukakan soalan kepada Menteri Komunikasi mengenai perkembangan terkini projek 5G dan strategi kerajaan dalam memperluas liputan ke kawasan luar bandar.

Pada sesi sama, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah mengelakkan insiden kemalangan ngeri seperti di Teluk Intan dan Gerik, Perak, yang meragut nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Turut mengajukan soalan ialah Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai rasional pemindahan lokasi hospital pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Nilai, Negeri Sembilan ke Kota Tinggi, Johor.

Selepas sesi soal jawab, persidangan akan diteruskan dengan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula Isnin lepas, disertai 78 Ahli Parlimen setakat ini.

RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas, dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79