Kerajaan Perkukuh Tadbir Urus, Ombudsman Malaysia Bakal Ganti BPA Dan EAIC – Azalina Othman

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kerajaan di bawah agenda Madani sedang memajukan penubuhan Ombudsman Malaysia bagi memperkukuh tadbir urus yang baik, meningkatkan akauntabiliti perkhidmatan awam, dan menyediakan saluran aduan yang lebih berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Ombudsman Malaysia akan menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

“Komitmen terhadap inisiatif ini diperkukuh sejak tahun 2023 dan jawatankuasa Protem yang ditubuhkan pada 16 Ogos 2023 telah membangunkan cadangan awal mengenai struktur, fungsi dan bidang kuasa.

“Pada 12 Jun 2024, Jemaah Menteri meluluskan pelaksanaan Sesi Libat Urus (SLU) holistik selama satu tahun (Julai 2024–Julai 2025) untuk mendapatkan pandangan pihak berkepentingan. Enam sesi SLU di seluruh negara melibatkan 665 peserta, di samping penandaarasan antarabangsa dengan model dari Australia, New Zealand, Indonesia dan Timor Leste.

“Perbincangan meliputi struktur, komposisi, bidang kuasa, skop aduan, pengecualian bidang kuasa, pembahagian kuasa Persekutuan–Negeri, tempoh pelantikan, dan skop salah laku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Bangi, yang bertanyakan hasil keputusan kerajaan susulan sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan berhubung status penubuhan Ombudsman Malaysia serta menjelaskan langkah-langkah seterusnya.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menjelaskan dapatan ini telah diperhalusi melalui bengkel pemurnian dasar bagi membentuk kerangka Ombudsman.

“Kertas dasar akhir kini sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan integriti, ketelusan, akauntabiliti, dan keyakinan rakyat.

“Selain mengukuhkan kepercayaan pelabur serta komuniti antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam menegakkan tadbir urus baik, keadilan, dan perlindungan hak asasi,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79