Mohd Isam Bangkit Isu Pelarasan Pencen Veteran ATM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa hari ini bertanya berkenaan sejauh mana langkah dilakukan kerajaan bagi membantu Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut beliau ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu yang telah memutuskan bahawa anggota yang bersara sebelum 1 Januari 2013 tidak layak menerima pelarasan pencen.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata, ini kerana kerajaan sebelum ini mengumumkan pelarasan pencen sebanyak 15 peratus.

“Sebanyak lapas peratus pada Disember 2024 dan tujuh peratus pada awal 2026 sebagai respon terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 5 Februari 2024.

“Soalan saya, apakah mekanisme rayuan atau saluran bantuan yang disediakan kementerian untuk veteran yang terkesan selepas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut?

“Dan bagaimanakah pula dengan status cadangan pelaksanaan pelarasan tujuh peratus lagi yang dijangka akan dibuat pada awal tahun 2026?” katanya.

Mohd Isam berkata demikian sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab kepada persoalan tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan kerajaan sentiasa berusaha dan memberi keutamaan terhadap agenda pemerkasaan serta kesejahteraan veteran ATM, sama ada berpencen mahupun tidak supaya dapat menikmati kehidupan selesa.

“Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini yang terkait dengan peningkatan gaji harus difahamkan, antara peningkatan gaji dan peningkatan pencen. Sebab itu kalau kita lihat bila hendak mengira penyelarasan pencen kepada anggota veteran kena kira peningkatan gaji dahulu.

“Selepas selaras gaji baru manfaatkan penyelarasan pencen, sebab itu seperti mana yang disebut oleh Tampin memang benar, bila kita meningkatkan gaji itu anggota veteran kita terlibat dalam penyelarasan pencen itu termasuk sumbangan pencen pada Januari tahun ini dan hadapan,” ujar beliau.

Katanya, ini termasuk pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) juga diberikan kepada kelompok ini mengambil kira tanggungan termasuk ahli keluarga.

Menurut beliau BSH diberikan kepada mereka mengambil kira beberapa perkara antaranya pencen di bawah paras kemiskinan iaitu RM1,198 dengan penambahan BSH iaitu RM300 sebulan.

“Kita beri kepada anggota berpencen kalau mereka mempunyai anggota keluarga yang kurang upaya, begitu juga dengan bilangan ahli keluarga yang masih bersekolah dan seumpamanya.

“Sebenarnya kalau kita lihat BSH tidak terhad kepada yang tidak berpencen sahaja tetapi juga kepada berpencen mengambil kira pelbagai aspek kerana paling penting kebajikan veteran dan keluarga dapat dipelihara,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79