KPT Komited Pastikan Graduan IPT Kekal Relevan Dalam Pasaran Kerja

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited memastikan graduan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta kekal relevan dalam pasaran kerja nasional.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelbagai usaha berterusan sedang dilaksanakan dan telah dirangka oleh pihak kementerian termasuk inisiatif bersama dengan pihak industri.

“Antaranya seperti Program 2 Tahun Universiti 2 Tahun Industri (2U2i) dan Structured Industry Apprenticeship Program (SIAP) iaitu dalam bidang elektrik and elektronik.

“Semakan silibus kurikulum bersesuaian dengan perkembangan swasta juga dibuat agar dapat melahirkan graduan yang boleh beradaptasi dengan keperluan sebenar di alam pekerjaan dan juga dengan keperluan negara.

“Inisiatif ini juga termasuk dalam memberi tumpuan kepada pemerkasaan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu teras utama perancangan jangka panjang yang dirangka meliputi program di peringkat sijil sehinggalah ke peringkat tertinggi di IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika ditanya Kamal Ashaari (Kuala Krau-PN) berkenaan perancangan jangka masa panjang kementerian untuk memastikan graduan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) kekal relevan dalam pasaran kerja nasional menjelang era pengukuhan TVET.

Dalam usaha untuk memperkukuhkan TVET dalam pendidikan tinggi nasional, beliau memaklumkan KPT telah membangunkan Plan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 untuk tempoh 10 tahun.

“Di bawah plan ada 10 lonjakan kesemuanya, yang ketiga iaitu Advance TVET Competency telah dirangka bagi membina ekosistem TVET yang holistik, responsif kepada keperluan industri serta mampu melahirkan graduan yang bersedia mendepani cabaran teknologi masa depan.

“Antara strategi utama bagi menyokong usaha ini termasuk pembangunan program TVET kompetensi tinggi. Ini termasuklah dalam bidang-bidang baru yang ada di pasaran, termasuklah dari segi permintaan dalam bidang analitik data, otomasi industri, keselamatan siber dan juga sistem siber fizikal,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79