Iltizam Kerajaan Madani Dalam RUU Insolvensi Rentas Sempadan – Azalina

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kerangka perundangan negara kekal progresif dan selari dengan perkembangan ekonomi serta amalan perdagangan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara, sekali gus mewujudkan persekitaran pelaburan yang adil, telus dan kondusif.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan, ianya melambangkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan kerangka perundangan negara sentiasa progresif, seiring dengan kepesatan ekonomi global, perkembangan sosial dan amalan perdagangan masa kini.

“Penggubalan RUU ini melambangkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan kerangka perundangan negara sentiasa progresif, seiring dengan kepesatan ekonomi global, perkembangan sosial dan amalan perdagangan masa kini.

“Usaha ini merupakan langkah penting dalam menyokong daya saing ekonomi negara untuk menjamin persekitaran pelaburan yang telus, adil dan kondusif, sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem perundangan dan pentadbiran ekonomi Malaysia.

“RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 ini akan memainkan peranan penting dalam menyediakan platform yang kondusif, ‘feasible and at ease’ bagi menyokong sektor perniagaan serta pelaburan yang berpotensi di negara kita,” katanya ketika ucapan penggulungan RUU Insolvensi Rentas Sempadan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menjelaskan pendekatan pembaharuan perundangan negara bukan sahaja menjamin penyelesaian yang adil dan telus kepada semua pihak.

“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan penyelesaian yang telus dan adil kepada pihak berkepentingan, malah turut memperkukuh kepercayaan pelabur terhadap sistem keadilan dan kestabilan ekonomi negara.

“Selaras dengan usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menarik pelaburan asing memacu pembangunan ekonomi MADANI, pembaharuan dalam aspek perundangan amat penting bagi memastikan pelaburan yang masuk dapat dikawal dan diuruskan secara berkesan,” jelasnya.

Kata Ketua UMNO Bahagian Pengerang lagi, kerajaan turut komited untuk menyokong usaha Akademi Kehakiman yang beroperasi secara pentadbiran di bawah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang sentiasa bersedia untuk melengkapkan para hakim dengan latihan yang berterusan dan relevan termasuk mengenai Insolvensi Rentas Sempadan.

“BHEUU, JPM dengan kerjasama Akademi Kehakiman Negara (AKN) akan melaksanakan latihan khas kepada para hakim Mahkamah Tinggi yang mengendalikan kes-kes sivil dan perdagangan, khususnya berhubung pemahaman prinsip-prinsip ‘Model Law’ dan pengurusan prosiding rentas sempadan.

“Latihan secara berstruktur dan berfasa akan diberikan kepada semua pihak berkepentingan, termasuklah para peguam, pelikudasi berlesen, pengarah syarikat, agensi pengawal selia dan badan profesional yang berkaitan, agar mereka memahami proses dan peranan masing-masing dengan jelas dan tuntas.

“Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sebagai pihak berkuasa pentadbiran bagi insolvensi akan memberi penekanan khusus kepada pembentukan satu unit khas untuk mengendalikan kes-kes rentas sempadan dan melatih pegawai-pegawainya secara langsung agar bersedia dari sudut amalan dan teknikal,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau, kerajaan juga akan menyelaraskan secara berkala dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memastikan senarai pengecualian dan sekatan dalam Jadual RUU sentiasa dikemaskini mengikut keadaan semasa dan kepentingan negara.

“Garis panduan operasi (SOP) akan dibangunkan khusus untuk pelikudasi, peguam, dan pentadbir syarikat supaya pelaksanaan di lapangan berjalan secara seragam, tersusun dan empat berlandaskan lunas undang-undang,” ujarnya.

Ujarnya lagi, kesemua langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan pelaksanaan RUU ini bukan sahaja berjalan lancar, malah turut memperkukuh ekosistem kehakiman dan perundangan dalam mendepani cabaran ekonomi global yang semakin kompleks dan bersepadu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79