Tindakan Tegas Pencerobohan Tanah Milik Kerajaan – Johari
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara akan dikeluarkan bagi pencerobohan tanah milik Kerajaan Persekutuan.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata penyelarasan dilakukan bersama di antara Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dengan agensi penguatkuasaan dan kementerian serta jabatan pengguna.
“Seterusnya, JKPTG mengambil tindakan mengawal bagi mengelakkan pencerobohan berulang. Setiap tanah milik Persekutuan telah mempunyai perancangan pembangunan berdasarkan Rancangan Malaysia.
“Walau bagaimanapun, pembangunan tanah-tanah tersebut adalah berdasarkan keutamaan dan peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Bagi memastikan tanah milik Persekutuan digunakan secara optimum, JKPTG melaksanakan kaedah tukar guna kepada kementerian dan agensi Persekutuan lain yang memerlukan serta melaksanakan kaedah sewa dan panjakan tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pertanyaan lisan ketika menjawab soalan oleh Dr Siti Mastura Muhammad (Kepala Batas-PN) mengenai perincian jumlah tanah milikan Kerajaan Persekutuan yang diceroboh di seluruh negara termasuk Pulau Pinang di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari dalam pada itu memaklumkan berdasarkan rekod JKPTG terdapat 465 pencerobohan di atas tanah milik Persekutuan dari tahun 2015 hingga Mei 2025.
“Jumlah keluasan tanah yang dimiliki oleh Persekutuan adalah 215,406 hektar.
“Untuk kes di Pulau Pinang, daripada jumlah tersebut sebanyak 26 aduan adalah melibatkan pencerobohan tanah milik Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang yang melibatkan 18 lot tanah,” ujar beliau. – UMNO Online