Ahmad Zahid Yakin UMNO Perlis Mampu Bangkit Semula
KANGAR, 26 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menyatakan keyakinan penuh bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kembali bangkit di bumi Perlis melalui kepimpinan yang lebih mantap dan berwibawa.
Berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar, beliau berkata tiga tokoh utama yang kini menerajui UMNO Perlis mampu menyuntik semangat baharu serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti keramat itu.
“Pemimpin datang dan pergi. Yang telah berlalu, biarkan berlalu. Tetapi pemimpin yang ada di hadapan kita hari ini, insya-Allah, lebih hebat daripada yang telah meninggalkan kita,” katanya.
Turut serta pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kangar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, Ketua UMNO Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya serta perwakilan dan pimpinan UMNO yang lain.
Ahmad Zahid seterusnya menegaskan bahawa UMNO tidak boleh terus bergantung pada nostalgia masa lalu sebaliknya, parti berkenaan mesti tampil sebagai ‘game changer’ dengan membawa agenda pembaharuan dan harapan baharu untuk rakyat, khususnya generasi muda Perlis.
“Pengundi di Kangar, Arau dan Padang Besar kini mahu melihat apa pembaharuan, apa harapan baharu yang boleh ditawarkan kepada mereka. Ini masa untuk kita buktikan kebangkitan sebenar,” katanya.
Menyorot kekalahan besar UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum yang lalu di Perlis yang menyaksikan tiada satu pun kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi beliau menyifatkan keputusan itu sebagai satu pengajaran mahal akibat perpecahan dalaman dan tindakan sabotaj sesama sendiri.
“Ini adalah harga yang kita bayar kerana marah sesama sendiri, tembak kaki sendiri, dan baling batu di rumah kaca sendiri,” ujarnya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mempertikaikan keberkesanan kerajaan yang menggantikan UMNO di negeri tersebut, dengan menyatakan bahawa tiada perubahan ketara atau pembangunan lebih baik yang dirasai rakyat Perlis sejak itu.
“Adakah kepimpinan yang ada sekarang ini benar-benar membawa perubahan? Lebih baik daripada zaman kita?
“Saya percaya rakyat Perlis kini sedar dan menilai semula keputusan lalu,” tambahnya.- UMNO Online