Dasar Luar Pasca-Kepengerusian ASEAN 2025, Kos Haji Tumpuan Hari Pertama Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini menyaksikan perbahasan mengenai hala tuju dasar luar Malaysia pasca-Kepengerusian ASEAN 2025, transformasi digital dan isu kenaikan kos haji menjadi antara agenda utama.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dipaparkan menerusi portal Parlimen, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) membangkitkan persoalan mengenai masa depan dasar luar Malaysia kepada Menteri Luar semasa sesi soal jawab lisan.
Beliau meminta penjelasan bagaimana dasar itu dapat membantu Malaysia memandu landskap geopolitik Indo-Pasifik yang semakin kompleks dan dinamik.
Perbahasan digitalisasi negara turut mendapat perhatian apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai perkembangan pelaksanaan inisiatif MYDigital terutama berkaitan pendaftaran MyDigital ID, integrasi sistem kerajaan dengan platform digital, serta impaknya terhadap penyampaian perkhidmatan awam.
Isu transformasi digital diteruskan dengan soalan daripada V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) kepada Menteri Digital yang ingin tahu kesiapsiagaan negara menghadapi revolusi kecerdasan buatan (AI) termasuk strategi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan, serta tahap integrasi AI dalam tadbir urus dan sektor ekonomi utama.
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pula membangkitkan persoalan kepada Perdana Menteri berhubung justifikasi kenaikan kos haji 2025, status pelaburan Tabung Haji dan jumlah kuota haji Malaysia yang tidak digunakan bagi 2020 hingga 2025.
Selepas sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan bacaan kali kedua beberapa rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 serta Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025.
Ahli-ahli Parlimen juga dijangka memberikan tumpuan kepada usul membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2023 (Kertas Statut 80 Tahun 2025).
Selain itu, dua dokumen turut dibentangkan di meja Ahli Parlimen, iaitu Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 dan Laporan Tahunan Suhakam 2023.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 24 hari dan antara yang pastinya menjadi tumpuan adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai ini. – BERNAMA