UMNO Beaufort Perkukuh Kesiapsiagaan Jentera Hadapi PRN17, Mantapkan GOTV
BEAUFORT, 14 Julai – UMNO Bahagian Beaufort terus siapsiaga dalam usaha memperkukuh jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) dengan penganjuran melaksanakan kursus dan latihan Get-Out-The-Vote (GOTV) di dua kawasan penting iaitu DUN Kuala Penyu dan DUN Klias.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat memaklumkan bahawa program tersebut dirangka khusus untuk meningkatkan kefahaman, kecekapan serta disiplin gerak kerja jentera menjelangnya PRN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Beliau menyifatkan kursus ini sebagai satu platform strategik dan amat penting dalam memastikan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) benar-benar bersedia menggalas amanah rakyat dan menghadapi cabaran pilihan raya dengan penuh keyakinan.
“Alhamdulillah, kehadiran hampir keseluruhan jentera dari tujuh portfolio utama bagi setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam DUN Kuala Penyu membuktikan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan akar umbi UMNO dan BN.
“Ini jelas menggambarkan bahawa jentera di setiap peringkat kini berada pada landasan yang tepat dalam persediaan menghadapi PRN17 yang kian hampir.
“Kesepaduan dan disiplin gerak kerja yang dipupuk melalui program seperti ini bakal menjadi tunjang kekuatan UMNO dan BN untuk memastikan kemenangan di DUN Kuala Penyu dan juga seluruh Parlimen Beaufort,” katanya kepada UMNO Online.
Turut hadir memeriahkan dan memberikan suntikan semangat kepada jentera ialah pimpinan utama UMNO Bahagian Beaufort termasuk Ketua Wanita UMNO Bahagian, Juriffah Safflie; Ketua Pemuda, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya; Ketua Puteri, Munira binti Sarrie, serta kepimpinan parti di sini.
Awang Aslee memaklumkan kursus dan latihan GOTV bagi DUN Klias turut mendapat sambutan hangat daripada jentera dengan disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Siti Aminah Acing selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Beaufort, yang juga merupakan penaja utama program berkenaan.
“Kita berkeyakinan bahawa gerak kerja terancang, bersatu hati dan penuh strategi adalah kunci utama bagi memastikan DUN di dalam bahagian menjadi kubu kuat BN dalam PRN yang akan datang.”
Ujarnya, penganjuran kursus sebegini menjadi cerminan kesungguhan UMNO Beaufort dalam mengatur strategi, memperkasa jentera dan memperkukuh rangkaian komunikasi serta pengurusan pilihan raya di semua peringkat.
“Ini juga adalah gambaran kesiapsiagaan penuh untuk berdepan cabaran semasa politik negeri Sabah yang kian mencabar dan dinamik.
“UMNO Beaufort bukan sekadar bersedia tetapi bertekad untuk menang. Dengan kekuatan jentera akar umbi, perpaduan dalaman yang utuh dan bimbingan berterusan daripada pimpinan atas parti, kami yakin untuk mengulangi kejayaan dan terus menjadi pilihan rakyat di DUN Kuala Penyu, DUN Klias dan seluruh Parlimen Beaufort,” katanya lagi. – UMNO Online