UMNO Sabah Tolak Fitnah, Teruskan Bersatu Laksana Perjuangan

KOTA KINABALU, 14 Julai – Penduduk Lamag diseru agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan dakyah luar yang cuba menafikan pembangunan yang sedang rancak dijalankan di kawasan ini.

Seruan itu disuarakan oleh Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dalam satu majlis bersama rakyat di Kampung Nusa Jaya., Lamag yang turut dihadiri pemimpin utama UMNO Sabah.

Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak akan berdiam diri terhadap usaha pihak tertentu yang menyebarkan tohmahan palsu kononnya Lamag masih mundur.

“Kita akan lawan fitnah ini habis-habisan. Jangan percaya cakap orang luar yang tidak tahu apa-apa tentang keadaan sebenar di Lamag. Mereka hanya pandai menabur cerita, tetapi hakikatnya rakyat di sini sendiri menyaksikan perubahan yang berlaku,” katanya.

Beliau turut memuji kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disifatkan telah membawa arus pembangunan yang nyata di DUN berkenaan dari naik taraf jalan raya dan bekalan air bersih, hinggalah ke aspek pendidikan dan jaringan komunikasi.

Salleh menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak sebagai usaha terdesak untuk meracuni pemikiran rakyat.

“Ini bukan soal politik semata-mata, ini soal maruah dan masa depan rakyat. Jangan sesekali biarkan suara luar yang penuh kepalsuan memecah-belahkan kesatuan kita,” tegasnya.

Majlis tersebut turut menyaksikan kehadiran Bung Moktar sendiri yang menerima sambutan hangat daripada masyarakat setempat iaitu satu bukti hubungan erat antara pemimpin dan rakyat masih kukuh.

Salleh juga menggesa kepada semua agar terus setia dan bersatu di bawah payung UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“UMNO sudah lama berjuang untuk rakyat. Jangan biarkan fitnah dan dakyah luar menggugat kestabilan. Bersama kita pertahan kebenaran, bersatu kita bawa Lamag terus maju,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79