Johor Terus Komited Perkasa Sistem Kesihatan Yang Cekap – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan pihaknya mengambil serius berkenaan hospital-hospital utama di Johor Bahru yang kini berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan.

Rentetan daripada itu beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkesempatan melakukan tinjauan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru yang merupakan hospital pakar terbesar kedua di negeri ini.

“Saya meninjau sendiri realiti semasa perkhidmatan kesihatan dan beban tugas luar biasa yang ditanggung petugas barisan hadapan kita.

“Realitinya amat membimbangkan. Kekurangan tenaga kerja kesihatan di hospital-hospital utama melibatkan pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.

“Tekanan kerja yang semakin tinggi ini bukan sahaja menjejaskan moral petugas, malah turut memberi kesan kepada kualiti rawatan yang diterima pesakit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Berdasarkan pemerhatiannya kata Onn Hafiz di beberapa wad, seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

Katanya keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas, tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika dibiarkan berpanjangan.

“Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini dan akan terus menyalurkan sokongan dari segi fasiliti serta keperluan kesihatan yang mendesak, selain membawa isu ini ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan berkaitan.

“Saya sendiri akan merayu agar pengisian jawatan kesihatan di Johor dapat disegerakan tanpa kompromi.

“Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memperjuangkan sistem kesihatan yang cekap, saksama dan mampan demi kepentingan seluruh negeri dan Bangsa Johor. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79