‘Tok Ajak’ Sifatkan Bersidang Bukan Sekadar Mesyuarat … Perkukuh Perjuangan

KOTA MELAKA, 13 Julai – Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata kehadiran perwakilan pada mesyuarat UMNO bahagian berkenaan bukan sekadar untuk bermesyuarat, tetapi lebih jauh daripada  itu untuk memperkukuh tekad dan semangat perjuangan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas seterusnya berkata Ini bukan perkara kecil malah  merupakan satu bentuk pengorbanan masa, tenaga, dan jiwa raga demi memastikan mesyuarat bahagian berjalan dengan jayanya.

“Yang paling penting, matlamat kita tidak boleh terhenti di tengah jalan. Kita mesti terus mara. Kita telah diuji berkali-kali. Kota Melaka, yang dahulunya gah, pernah runtuh pada tahun 1511 apabila ada pengkhianatan Si Kitol. Sejarah itu mengajar kita.

“Pada Tahun 2018, kita diuji lagi oleh Allah SWT. Setelah diberi amanah untuk memerintah negara dan negeri Melaka namun akhirnya UMNO/Barisan Nasional (BN) hilang kuasa apabila kita mengalami kekalahan.

“Namun Alhamdulillah Allah SWT masih memberi kita ruang. Nikmat itu tidak ditarik sepenuhnya. Kita masih diberi peluang dan ruang untuk berkhidmat kepada rakyat. Dan dalam ruang yang sempit itu, kita lihat bagaimana kebijaksanaan pimpinan tertinggi parti,Presiden, Timbalan Presiden serta kepimpinan yang lain memainkan peranan penting menyatukan semula kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Kota Melaka yang disempurnakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri  Mohamad Hasan, semalam. Turut serta Ketua Wanita UMNO Datuk Haryaty Hamdzah serta pimpinan dan perwakilan lain.

Abdul Razak yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menambah  mentadbir serta mengurus parti pasca 2018 bukanlah perkara yang mudah.

“Kota Melaka tidak ketinggalan dengan pelbagai cabaran dan sebagai Ketua UMNO bahagian pada waktu itu amat sukar sekali dengan pelbagai dugaaan  yang datang.

“Saya bukan hendak mengungkit. Bukan juga mahu menunjuk-nunjuk. Tetapi saya ingin mengajak semua untuk kita ambil iktibar agar sejarah pahit itu tidak berulang. Alhamdulillah segala cabaran dan dugaan dapat kita atasi bersama-sama dan hari ini kita terus bekerja dan di Kota Melaka ini kita bergerak sederap, sepakat, dan tidak wujud sebarang masalah dalaman yang ketara.

“Ini adalah hasil daripada pengajaran yang kita kutip sejak 2018. Kita sudah belajar. Kita tidak mahu jatuh di lubang yang sama,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79