Depani Realiti Politik Baharu, Perkukuh UMNO Untuk Kembali Dominan – Ahmad Zahid

SELAYANG, 12 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO perlu berani mendepani realiti politik baharu dengan memperkukuh perpaduan dalaman dan menjalin kerjasama erat bersama rakan komponen bagi memastikan kembali dominan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Selayang yang diadakan di sini hari ini.

“Kita harus melihat realiti politik baharu dihadapan kita. Dari segi hukum akal yang 30 (kerusi Parlimen) jadi pembangkang dan yang dapat kerusi banyaklah jadi kerajaan. Tapi Allah mentakdirkan yang 30 jadi kerajaan dan yang 70 jadi pembangkang.

“Politik hari ini menuntut strategi baharu. UMNO tidak boleh hanya bergantung pada sejarah lama, sebaliknya perlu diterjemah dalam gerak kerja yang jelas dan menyeluruh,” tegas beliau.

Menurut Ahmad Zahid, meskipun UMNO kini berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama rakan-rakan komponen seperti MCA, MIC serta gabungan PH yang turut disertai Dap, perjuangan UMNO dalam mempertahankan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu tidak pernah terpinggir.

“Dap tidak pernah menentang UMNO dalam hal berkaitan bangsa dan agama Islam. Perjanjian kita dalam Kerajaan Perpaduan tetap mempertahankan kedudukan Islam dan hak Melayu,” katanya.

Ahmad Zahid turut menekankan bahawa UMNO adalah parti yang tidak pernah mengetepikan kaum lain dalam sebarang agenda kebangsaan.

“UMNO bukan parti bermusim. Kita santuni rakyat sepanjang masa dan dalam semua keadaan. Walau MCA dan MIC sedang susah, UMNO tetap bersama mereka. Ya, ketika ini MCA dan MIC susah dan MIC ada satu kerusi sementara MCA hanya ada dua tapi dalam keadaan sama-sama susah UMNO tak pernah tinggalkan kawan-kawan. Dalam susah kita bersatu, bukan ugut-mengugut,” ujar beliau.

Mengulas mengenai pengalaman kekalahan dalam dua pilihan raya umum lalu, Ahmad Zahid menyeru seluruh jentera UMNO agar memperkuat kerjasama antara Wanita, Pemuda, Puteri dan kepimpinan Bahagian bagi menjayakan misi dominasi semula parti dalam PRU akan datang.

“Matlamat kita dalam PRU16 adalah untuk kembali dominan. Tapi dominasi itu perlu diterjemahkan bukan hanya perancangan. Kita bukan hanya sekadar merancang tapi juga gerak kerja.

“Kita bukan hanya berjuang untuk bangsa Melayu/Iislam saja tapi juga bangsa lain-lain. Kita perjuangkan siasah politik Islam bukan untuk Melayu dan Islam sahaja, tetapi juga untuk semua bangsa,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa azamnya kini adalah untuk menyatukan UMNO dan mengembalikan kegemilangan parti keramat itu.

“Kita jaga parti UMNO, bukan kerana jawatan atau kedudukan. Ini realiti politik baharu yang menuntut kita untuk berubah, berpadu dan bergerak sebagai satu,” jelas beliau.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa kejayaan hanya akan dicapai apabila UMNO bangkit bukan dengan memijak orang lain, tetapi kerana rakyat menyokong dan mencalonkan mereka kembali.

“Bangkit bukan sebab pijak orang lain, tapi kerana rakyat suka dan mahu kita kembali,” katanya lagi.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim; Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail selain Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican serta barisan kepimpinan tempatan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79