UMNO Belajar Dari Kesilapan, Jangan Biar Sejarah Berulang – Megat Zulkarnain
SELAYANG, 13 Julai – Pengerusi UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan bahawa kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu bukan sahaja berpunca daripada penolakan rakyat, tetapi lebih mendukacitakan apabila terdapat pengkhianatan dalam kalangan ahli parti sendiri.
Menurut beliau, tindakan segelintir ahli yang sanggup menikam parti dari dalam telah menjadi punca utama kepada keruntuhan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
“UMNO kalah pada pilihan raya lalu bukan sekadar kerana rakyat tidak mengundi UMNO/ Barisan Nasional (BN) tetapi yang lebih parah, ahli parti sendiri telah mengkhianati perjuangan. Jangan ulangi kesilapan lalu kerana harga yang dibayar terlalu mahal.
“UMNO mati di tangan ahlinya sendiri. Hilang kepercayaan, tiada keyakinan kepada kepimpinan ketika itu yang sebenarnya telah banyak berjasa kepada rakyat. Saya tidak mahu kita mengulangi kesilapan yang sama. Cukuplah sekali,” katanya kepada perwakilan UMNO Bahagian Selayang, di Kelab Rahman Putra, semalam.
Turut hadir, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim; Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail serta perwakilan empat peringkat UMNO Bahagian Selayang.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata keyakinan hari ini diletakkan kepada Presiden UMNO yang sanggup menerima apa jua cabaran bagi mengemudi parti termasuk mempertahankannya agar tidak dibubarkan atau diharamkan.
Kata Megat Zulkarnain, perkara tersebut bukan mudah untuk diluahkan kerana membabitkan soal prinsip dan perjuangan UMNO sejak dahulu.
“Perkara pedih ini bukannya mudah nak cakap apabila hendak dibubarkan kerana untuk Presiden UMNO memikirkan kepentingan diri serta meneruskan UMNO sebagai satu perjuangan.
“Presiden menerima apa saja keputusan, asal jangan UMNO diharamkan atau dibubarkan. Ini adalah hadiah untuk semua ahli parti yang sentiasa berjuang untuk UMNO,” katanya lagi.
Berkaitan UMNO Selangor. beliau menegaskan akan terus bekerja keras untuk mengembalikan kegemilangan parti itu di negeri berkenaan, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.
“Kami seia sekata akan terus bekerja keras, membina kembali negeri Selangor supaya UMNO boleh kembali menjadi dominan semula dalam pilihan raya akan datang, Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online