Rafi Hargai Komitmen Wanita UMNO, Semangat Tinggi Perkasa Parti – Mohd Rafi

KOTA MELAKA, 12 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Rafi Alli Hasan melihat semangat dan komitmen Wanita UMNO cukup tinggi malah merupakan salah satu jentera penting parti.

Bagi beliau yang juga Ketua UMNO Labuan, Wanita UMNO yang merupakan tulang belakang parti  telah terbukti  sebagai salah satu jentera UMNO di pelbagai peringkat bersama jentera  parti yang lain.

“Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Wanita UMNO cawangan Kota Melaka yang telah berjaya melaksanakan persidangan masing-masing.

“Sekiranya mereka di peringkat cawangan gagal menyempurnakannya, maka bermakna Wanita UMNO bahagian  tidak dapat bersidang. Maka kejayaan ini adalah bukti komitmen dan tanggungjawab kita kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO Kota Melaka, di sini petang semalam. Turut serta Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Wanitanya, Datuk Haryaty Hamdzah dan pimpinan yang lain.

Mohd Rafi seterusnya menambah, UMNO hari ini bukan lagi seperti 10 atau 20 tahun dahulu.

“Kita bukan lagi gah seperti dahulu. UMNO pada tahun 2018, dan sekali lagi pada tahun  2022 kita telah melalui kekalahan, namun kita tetap setia dan kita tetap bersama dalam perjuangan. Semangat wanita dalam UMNO tetap luar biasa… Alhamdulillah,” ujarnya.

Beliau seterusnya menegaskan kekuatan parti terletak pada akar umbi dan bukannya kepada mana-mana individu atau pemimpin tertentu.

“Kekuatan UMNO tidak pernah bergantung kepada individu di atas. Kekuatan sebenar datang daripada akar umbi. Daripada kita semua. Jangan bersedih dengan mereka yang meninggalkan parti. Tun Mahathir meninggalkan UMNO, namun UMNO tetap wujud sehingga hari ini. Tan Sri Muhyiddin juga meninggalkan UMNO, namun UMNO masih bermesyuarat melaksanakan persidangan. Pemimpin datang dan pergi tetapi parti ini, insya-Allah, akan terus ke depan.

“Manfaatkan sepenuhnya media sosial yang  kini adalah senjata terpenting. Jadikan contoh bagaimana YB Helmi (Adun Duyong)  dan Tok Ajak (Adun Telok Mas) yang menggunakan aplikasi digital dan platform media sosial untuk menyampaikan mesej perjuangan.

“Kita perlu menguasainya bukan untuk menabur fitnah tetapi untuk menyebarkan kebenaran dan semangat perjuangan UMNO,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79