Rundingan Mengenai PRN Sabah Belum Dimuktamadkan – Ahmad Zahid
TANAH MERAH, 11 Julai – UMNO telah mengadakan perbincangan dengan parti-parti terlibat menjelang Pihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bagaimanapun, persiapan menghadapi PRN Sabah sudah bermula sejak tahun lepas sebagai langkah kesiapsiagaan parti.

“Kita sudah ada perbincangan, tetapi keputusan belum dimuktamadkan lagi, malah kita telah siapsiaga (persiapan) sejak tahun lepas lagi untuk hadapi PRN Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wojdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazan Yaakub.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Pada PRN Sabah ke-16 yang berlangsung pada 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi Barisan Nasional (BN) memperoleh 14 kerusi dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.
Susulan itu, GRS secara rasmi membentuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas meraih keseluruhan 38 kerusi. – BERNAMA