UMNO Kelantan Syukur Titah Adendum Disahkan, Gesa Tahanan Rumah Dilaksana

KUALA LUMPUR, 12 Julai – UMNO Kelantan memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga dengan pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ini sekaligus membuktikan kewujudan titah bagi penahanan rumah Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“UMNO Kelantan memohon pihak Kerajaan untuk menghentikan segala prosiding pendakwaan selari dengan keabsahan titah adendum ini.

“Kami memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera melaksanakan titah tahanan rumah bagi membuktikan proses perundangan yang telus dan adil sekaligus dapat menangkis tanggapan negatif oleh rakyat sebelum ini.

“Saya dan seluruh ahli UMNO di negeri Kelantan berdoa agar Najib Razak mendapat keadilan sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Peguam Negara kepada Mahkamah Persekutuan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan Najib Razak yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Ia bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79