Terus Komited Bantu Rakyat, Amanah Dipikul Demi Kesejahteraan Masyarakat – Mohd Zaidy
JEMPOL, 11 Julai – Komitmen dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela menjadi aplikasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang kerap turun padang meninjau sendiri permasalahan yang membelenggu masyarakat setempat.
Dalam satu lawatan kerja dan ziarah prihatin baru-baru ini, beliau melawat kawasan perumahan setelah menerima aduan daripada seorang penduduk, berhubung masalah longkang yang tersumbat.
“Saya sendiri melihat keadaan longkang yang sempit dan tidak berfungsi dengan baik. Saya memahami keresahan komuniti yang terkesan dan perkara ini akan segera dimaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan pembaikan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, keadaan tersebut telah menimbulkan keresahan kerana berisiko menjejaskan kesihatan penduduk akibat saliran air yang tidak lancar.
Dalam masa yang sama, Mohd Zaidy mengambil kesempatan menziarah penduduk yang uzur termasuk mereka yang baru sahaja keluar dari Hospital Kuala Pilah, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
“Saya sentiasa mengambil berat setiap aduan dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Ini bukan sekadar tanggungjawab, tetapi amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. UMNO tidak pernah berhenti berkhidmat dan akan terus memperjuangkan kesejahteraan masyarakat,” tegas beliau.
Tambah beliau, segala usaha yang dilakukan adalah manifestasi amanah yang dipikul untuk sentiasa berada di sisi rakyat.
“Kita bukan berpolitik, tetapi melaksanakan gerakan yang terus relevan dan dekat dengan denyut nadi rakyat. Turun padang, mendengar, dan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung adalah bukti jelas kebersamaan di semua peringkat.” – UMNO Online