Ahmad Zahid Tegaskan Kelantan Sentiasa Dibantu Kerajaan Persekutuan

TANAH MERAH, 11 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Negeri Kelantan sentiasa dibantu oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyalurkan peruntukan setiap kali beliau ‘turun’ ke Kelantan.

“Saya ingin menyanggah kenyataan tersebut kerana mustahil ada bantuan disekat. Setiap kali Perdana Menteri turun ke Kelantan, ada sahaja peruntukan diberikan termasuklah kepada negeri-negeri yang diperintah Kerajaan Perpaduan… mungkin dikhuatiri kecil hati dan sebagainya.

“Saya dengar sendiri dengan telinga saya apabila berlaku keruntuhan cerun… beliau memberikan keputusan dengan serta merta. Bantuan ini diminta oleh kepimpinan utama Negeri Kelantan.

“Saya harap beliau mendapatkan maklumat ini daripada kepimpinan beliau. Banyak lagi (situasi) umpamanya banjir besar, kita bantu Negeri Kelantan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah, di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru pihak lawan untuk berhenti memainkan sentimen dan menyemai semangat kebencian dalam kalangan ahli serta penyokong UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Kalau tidak ada pembangunan dan peruntukan daripada kerajaan persekutuan, saya fikir Kelantan akan lebih tercorot lagi dari segi pembangunan.

“Kebanyakan pembangunan di Kelantan ini adalah kerana peruntukan dari kerajaan persekutuan. Itu harus diakui.

“Jangan cuba memainkan, membalikkan fakta ini dan meracuni pemikiran orang untuk menebalkan semangat kebencian di kalangan para ahli serta penyokong,” katanya lagi.

Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata kerajaan persekutuan meminggirkan dan tidak pernah menyalurkan bantuan kepada Negeri Kelantan untuk tujuan pembangunan, kebajikan dan sebagainya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79