Persidangan UMNO … Najib Ajak Teruskan Agenda Perkasakan Parti, Bela Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Timbalan Ketua UMNO Sri Gading, Datuk Mohd Najib Samuri menggesa seluruh jentera parti di semua peringkat untuk mempergiat gerak kerja secara menyeluruh bagi memastikan impak lebih besar dalam mendepani cabaran politik semasa.

Menurut beliau mesyuarat bahagian terbabit yang selesai minggu lalu dengan suntikan kata-kata serta pelbagai lontaran daripada para perwakilan khususnya kepimpinan tertinggi parti sudah pasti memberi nilai tambah untuk masing-masing bergerak dengan sebaiknya.

“Kini, tiba masa untuk kita kembali ke akar umbi menerus khidmat bakti sebagaimana hakiki. Malah, perlu dipergiat lagi segala bentuk program mahupun aktiviti bersama jentera diperingkat lokaliti. Baik UMNO ataupun semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu bergerak sederap bagi memastikan impaknya kelak menjadi lebih luar biasa!

“Jika nanti takdirnya BN bertanding secara solo pada pilihan raya ke-16 ataupun berganding bersama Pakatan Harapan tentunya memerlukan garis panduan yang jelas agar ianya tidak menjadi beban.

“Penentuan kerusi mungkin boleh diusulkan dan boleh juga dirundingkan bersama. Apa yang lebih penting adalah bagaimana parti-parti gabungan dalam kerajaan yang ada pada hari ini untuk meyakinkan pengundi memilih semula seterusnya mengekal pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Mohd Najib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani turut mengingatkan bahawa tekanan kos sara hidup kini dirasai meluas, bukan lagi terhad kepada kumpulan e-Kasih, asnaf atau B40 semata-mata.

Oleh itu, katanya, agenda melestari kehidupan rakyat perlu kekal menjadi keutamaan semua pihak dalam kerajaan.

“Jangan terus berhalusinasi dengan sejarah lama. Masa depan negara kini di bahu kita. Masa hadapan negara kini dibahu kita. Untuk hasil yang luar biasa memerlukan agenda yang bukan biasa-biasa. Buktikan hanya UMNO yang mampu menerus agenda membangun negeri dan negara.,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan dan ahli pelbagai peringkat yang telah menjayakan Mesyuarat UMNO Sri Gading Sabtu lalu yang dirasmikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Alhamdulillah, saya dapat bersama-sama keluarga besar UMNO bahagian Sri Gading melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli yang juga merupakan salah seorang perwakilan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading untuk tahun ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk  Seri Dr Ahmad Zahid dan untuk rekod, beliau merupakan Presiden UMNO yang pertama merasmikan mesyuarat di Sri Gading. Penghargaan dan terima kasih juga kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi UMNO Negeri Johor yang sudi hadir dan menyampaikan amanatnya.

“Syabas tahniah buat Datuk Mohd Lassim Burhan, Ketua UMNO Bahagian dan seluruh saf kepimpinan berserta sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang telah menjalankan mesyuarat hingga selesai. Terima kasih juga kepada seluruh perwakilan dan usul yang telah dibahaskan juga dipersetujui secara sebulat suara semuanya tertib dan mengikut perlembagaan parti. Alhamdulillah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79