Tiada Komuniti Nelayan Boleh Tercicir Dalam Pembangunan – Suhaimi Nasir

LIBARAN, 10 Julai – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa tiada komuniti nelayan, khususnya di kawasan Libaran, boleh dibiarkan tercicir daripada menerima manfaat pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.

Menurut beliau, meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan (DOF) Sabah dan Ko-Nelayan, jumlah penerima bantuan masih belum mencukupi dan perlu diperluas secara menyeluruh.

“Kita perlu memastikan bahawa tiada komuniti nelayan yang tercicir daripada menerima manfaat pembangunan. Libaran mempunyai potensi besar sebagai zon perikanan dan akuakultur. Golongan nelayan ini merupakan antara tonggak keselamatan makanan negara yang wajar diberikan perhatian serius,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berhubung pelbagai inisiatif bantuan yang telah disalurkan kepada nelayan di kawasan Sandakan termasuk Libaran sepanjang tahun 2020 hingga 2025

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan di kawasan Sandakan termasuk Libaran antara tahun 2020 hingga 2025 termasuk:
• Bantuan peralatan menangkap ikan kepada 24 orang nelayan.
• Pelepasan 3,500 ekor benih balat (timun laut) di perairan Pulau Libaran.
• Penyertaan nelayan Pulau Nunuyan dalam Program Penanaman Rumpai Laut.
• Pembiayaan mikro kepada 68 nelayan berjumlah lebih RM580,000.
• Pembinaan lima unit i-JETI di kampung-kampung sekitar Sandakan dan Kinabatangan.

Namun begitu, Suhaimi berkata jumlah penerima masih kecil berbanding jumlah sebenar nelayan aktif di kawasan Libaran. Justeru, beliau menggesa agar lebih banyak bantuan disalurkan dengan pendekatan strategik dan inklusif.

Beliau turut mencadangkan agar diperkenalkan program yang melibatkan teknologi pemprosesan ikan, agro-marin dan pemasaran digital bagi memperkasa pendapatan nelayan jangka panjang.

“Saya juga mencadangkan agar satu sistem pemantauan bersepadu diwujudkan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran dan memberi impak langsung kepada pendapatan mereka,” katanya.

Suhaimi menegaskan bahawa kerajaan perlu menyemak semula jumlah penerima bantuan sedia ada serta merangka pelan tindakan yang lebih bersasar agar semua nelayan dapat menikmati manfaat pembangunan secara adil dan menyeluruh. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79