Jangan Jadikan Titah Pemangku Sultan Johor Politik Murahan – Mohd Hairi
JOHOR BAHRU, 10 Julai – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah mengecam keras kenyataan Ketua ARMADA Johor, Alias Rasman yang didakwa memutarbelitkan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor demi kepentingan politik.
“Tindakan Alias yang mendakwa titah tersebut sebagai cerminan kegagalan urus tadbir kerajaan bukan sahaja dangkal dan biadab, malah memperlihatkan sikap terdesak seorang politikus yang sudah kehabisan modal,” tegas Mohd Hairi dalam satu kenyataan berkaitan isu terbabit.
Beliau turut menegaskan bahawa Ketua ARMADA Johor itu tidak mempunyai kedudukan moral mahupun kredibiliti untuk menilai urus tadbir kerajaan dan mengecam tindakan mempergunakan Institusi Diraja sebagai perisai politik.
“Titah DYAM Tunku Mahkota Ismail harus dilihat dalam kerangka kasih dan keprihatinan seorang Raja terhadap rakyat dan negeri, bukannya diputarbelit untuk menutup kegagalan sendiri,” katanya lagi.
Menurut Mohd Hairi, segala isu yang disentuh dalam titah baginda iaitu seperti gaji minimum, hospital, ‘brain-drain’, dan bekalan air merupakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri Johor sentiasa bersikap terbuka dan bekerjasama erat dalam mencari penyelesaian terbaik.
Beliau turut memberi peringatan kepada Ketua ARMADA Johor agar lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan serta menghentikan cubaan menunggang sentimen istana demi kepentingan politik peribadi.
“Institusi Diraja Johor adalah tonggak kestabilan negeri dan suara hati rakyat. Pemuda UMNO menyokong penuh setiap titah dan pandangan Pemangku Sultan Johor yang lahir daripada keprihatinan terhadap rakyat serta masa depan Johor,” ujarnya.
Mohd Hairi menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan Institusi Diraja dan menghormatinya sebagai payung perpaduan serta simbol kedaulatan negeri.
“Saya tidak akan berdiam diri jika mana-mana pihak, termasuk bekas pemimpin yang telah ditolak rakyat, cuba mencemar martabat Raja dan kestabilan negeri.
“Hormatilah titah Tunku. Jangan jadi penghasut yang tidak sedar diri!” tegasnya lagi. – UMNO Online