Cubaan Putar Belit Titah Tuanku Tindakan Tidak Bertanggungjawab – Syed Hussien

JOHOR BAHRU, 10 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah ini mengecam kenyataan yang dikeluarkan Ketua ARMADA Johor, Alias Rasman, berhubung petikan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Menurut beliau, kenyataan Ketua ARMADA itu bukan sahaja bersifat mengelirukan rakyat, malah cuba menggugat keyakinan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar Johor, DatUK Onn Hafiz Ghazi.

“Titah DYAM Tuanku lahir daripada kasih sayang dan keprihatinan baginda terhadap rakyat Johor. Ia adalah amanat murni yang perlu dijunjung, bukan diputar belit demi kepentingan politik murahan,” tegas Syed Hussien dalam satu kenyataan.

Mengulas isu Hospital Pasir Gudang yang disentuh dalam titah baginda, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sudah berulang kali mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menambah bilangan kakitangan perubatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan berfungsi secara optimum di kawasan Johor Bahru Timur.

“DYAM Tuanku menyuarakan kegusaran yang turut dikongsi oleh kerajaan negeri. Isu kekurangan tenaga kerja perubatan sudah lama kita perjuangkan bersama,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga terus menunjukkan komitmen terhadap isu pekerjaan dan pendapatan rakyat melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang telah mula menarik pelaburan berteknologi tinggi dari luar negara, sekali gus membuka peluang pekerjaan bergaji kompetitif kepada rakyat tempatan.

“Ini bukti pendekatan realistik kerajaan negeri. Kita bekerja, bukan sekadar bercakap. Kita laksanakan tindakan, bukan hanya beretorik,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Ketua ARMADA Johor sebagai tidak bertanggungjawab dan satu bentuk pengkhianatan terhadap maksud sebenar titah DYAM Tuanku.

“Bangsa Johor tidak perlukan ahli politik yang hanya tahu bermain persepsi. Kita perlukan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa titah baginda adalah satu amanat yang perlu dipikul bersama dan bukan dijadikan modal untuk meraih simpati politik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79