Jangan Mudah Terperangkap Mainan Politik Lagakan Kepimpinan UMNO – Mohd Hairi
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah menegaskan pelbagai tohmahan liar termasuklah usaha untuk melaga-lagakan kepimpinan serta ahli pelbagai peringkat di dalam parti harus ditolak secara total.
Bagi beliau usaha berkenaan tidak lebih hanya sekadar untuk melemahkan parti berkenaan dan asas perjuangan UMNO yang telah membentuk jati diri ahli UMNO dilihat boleh menjadi penghalang kepada usaha berkenaan.
“Akhir-akhir ini, banyak provokasi ditimbulkan, kononnya pemimpin UMNO tidak lagi bebas bersuara dan sebagainya. Namun, hakikatnya, dalam UMNO kami sentiasa mengamalkan budaya menghormati institusi dan hierarki kepimpinan – daripada Presiden hinggalah ke peringkat akar umbi. Ini adalah asas yang membentuk kami.
“Saya sendiri, sebagai pemimpin yang menawarkan diri bertanding di peringkat nasional khususnya di posisi nombor dua Pemuda sedar bahawa pelbagai pihak cuba mencetuskan pertembungan antara saya dan Datuk Dr. Akmal. Namun, saya ingin tegaskan… kami tidak akan terpengaruh.
“Antara saya dan Dr. Akmal, wujud satu persefahaman dan strategi yang hanya kami berdua tahu. Kami sentiasa berkomunikasi untuk memastikan suasana di peringkat akar umbi kekal tenang dan selesa. Dr. Akmal dengan pendekatannya yang membawa naratif untuk mendekati rakyat secara langsung, manakala saya lebih fokus kepada soal kepimpinan dan pengukuhan di peringkat bahagian,” katanya kepada UMNO-Online.
Hairi seterusnya menegaskan kerjasama ini bukan sekadar satu strategi politik, tetapi satu bentuk kesepaduan yang dibina atas dasar kepercayaan dan matlamat bersama.
“Apa yang disebut-sebut di luar sana mengenai kem A, kem B, atau kononnya wujud perpecahan itu semua hanyalah fitnah dan percubaan untuk melaga-lagakan.
“Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini, ada pihak yang cuba melaga-lagakan antara Presiden dan Timbalan Presiden. Kita perlu sedar peranan kita. Maka saya ambil pendekatan berstrategi…saya ada peranan saya, dan Dr. Akmal ada peranan beliau. Kami bergerak bersama, bukan bertembung,” ujarnya. – UMNO Online