Saban Tahun Persidangan, Mesyuarat Pelbagai peringkat Bukti UMNO Ada Batu Asas Kukuh – Rashidah
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Naib Ketua UMNO Sri Gading, Nor Rashidah Ramli melihat perjuangan UMNO yang kekal hingga ke hari ini mempunyai batu asas yang kukuh dan kuat.
Menurut beliau perkara berkenaan dapat dilihat menerusi persidangan serta mesyuarat UMNO pelbagai peringkat saban tahun yang berjalan dengan lancar dan penuh tertib.
“Bagi saya, UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai asas yang sangat kukuh dan kuat. Kekuatan ini terbina daripada struktur organisasi yang teratur, bermula dari peringkat akar umbi di kampung-kampung melalui cawangan-cawangan UMNO yang aktif, sehinggalah ke peringkat bahagian dan pusat.
“Mesyuarat-mesyuarat yang dijalankan di pelbagai peringkat termasuk di cawangan, bahagian, negeri serta peringkat pusat yang mencerminkan bahawa jentera parti masih bergerak dengan tertib dan mengikut lunas perlembagaan parti. Ini adalah bukti bahawa UMNO terus berfungsi sebagai sebuah parti yang tersusun dan berdisiplin,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau seterusnya menambah perjuangan yang kekal hingga ke hari ini perlu ditingkatkan lagi kekuatan dengan mengambil kira pelbagai faktor antara lain seperti mana yang digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya juga ingin mengimbau kembali pesanan yang disampaikan oleh Presiden parti kita ketika merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Sri Gading abru-baru ini. Apa yang beliau tekankan sangat penting iaitu nilai kesetiaan kepada parti. Sebagai simbol tertinggi dalam parti, nasihat dan peringatan daripada Presiden harus dijadikan panduan oleh seluruh ahli.
“Ketika parti sedang berdepan dengan pelbagai cabaran, hanya dua perkara boleh memastikan kita terus bertahan dan bergerak ke hadapan…kesatuan dan kesetiaan. Jika kita dapat mengekalkan kedua-dua nilai ini, insya-Allah UMNO akan terus berdiri teguh dan relevan dalam landskap politik negara,” ujarnya. – UMNO Online