Pemerkasaan TVET Pertanian Di Segamat Beri Manfaat Masyarakat Setempat – Zahari
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ketua UMNO Segamat Datuk Zahari Sarip berkata usul pendidikan yang dibawa serta diluluskan oleh UMNO bahagian berkenaan dalam persidangannya berkaitan TVET pertanian akan memberi limpahan manfaat yang cukup besar kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau dengan kelebihan bentuk muka bumi dan kekuatan infrastruktur pendidikan ianya sudah pasti akan memudahkan lagi usaha kerajaan bagi menjayakan TVET pertanian di Segamat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana menerima usul dan pandangan yang kami bawa khususnya dari sudut pendidikan, ini supaya kerajaan memberi perhatian serius terhadap potensi Segamat dalam pembangunan ekonomi pertanian melalui pelaksanaan program TVET pertanian.
“Untuk makluman, Segamat pernah diumumkan sebagai daerah pertanian oleh kerajaan negeri pada tahun 2013. Sejak itu, pelbagai aktiviti pertanian telah berkembang di kawasan ini termasuk tanaman getah, kelapa sawit, durian, pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran, serta penternakan ayam dan sebagainya.
“Segamat juga mempunyai kekuatan dari segi infrastruktur pendidikan. Kita ada institusi-institusi seperti UiTM, Kolej Komuniti, Giat MARA, dan Kolej Vokasional yang boleh memainkan peranan penting dalam melatih tenaga kerja mahir dalam bidang pertanian moden,” katanya kepada UMNO-Online.
Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, khususnya Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, mempertimbangkan Segamat sebagai salah satu daerah tumpuan atau ‘pilot district’ bagi melahirkan pelatih-pelatih berkemahiran tinggi dalam bidang TVET pertanian.
“Kita bukan sahaja mempunyai sumber yang melimpah seperti tanah pertanian yang luas dan sesuai dibangunkan tetapi juga adanya pihak industri swasta yang sedia menjadi rakan strategik. Sebagai contoh, kita mempunyai usahawan peladangan durian berskala besar, syarikat ternakan ayam moden, dan syarikat ternakan ikan yang sedang bersiap sedia untuk melabur di Segamat.
“Ini membuktikan bahawa Segamat memiliki segala keperluan sumber, infrastruktur, institusi pendidikan, dan kerjasama industri untuk dijadikan model pembangunan TVET pertanian yang menyeluruh dan berimpak tinggi. Maka, saya berharap cadangan ini diberi perhatian sewajarnya demi masa depan anak-anak muda kita dan kemajuan sektor pertanian negara,” ujarnya. – UMNO Online