KKDW Komited Pastikan Pembangunan Desa Tidak Tertinggal Dalam RMK13 — Ahmad Zahid
PUTRAJAYA, 9 Julai — Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan komuniti desa terus diberi perhatian utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau memulakan tugasan hari ini dengan menerima kunjungan delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bagi memperhalusi peringkat akhir perancangan RMK13 yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi.
“Pertemuan ini bertujuan memperhalusi fasa akhir perancangan RMK13, khususnya bagi memastikan agenda pembangunan desa terus diberikan perhatian dan peruntukan yang sewajarnya,” kata beliau menerusi satu kenyataan.
Menurut Ahmad Zahid, RMK13 akan menjadi pemangkin utama pembangunan negara, merangkumi keperluan semua lapisan rakyat termasuk komuniti luar bandar. Ia turut menekankan bidang penting seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal serta pengurusan bencana.
“Insya-Allah, segala yang dibincangkan hari ini akan diteliti sebaiknya demi merangka dasar yang benar-benar memberi impak menyeluruh, bersifat inklusif, mampan dan berorientasikan rakyat,” tambah beliau lagi. – UMNO Online