Notis Saman Fitnah Telah Diserahkan Kepada ‘Papagomo’ – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Notis saman fitnah telah diserahkan kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris atau yang lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ sebentar tadi, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan notis tuntutan saman tersebut telah diserahkan oleh pasukan peguam beliau.
“Petang tadi pada jam 2.15 petang, pasukan guaman saya telah menyerahkan secara rasmi Notis Tuntutan Saman kepada Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo di kediamannya.
“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan.
“Walaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah. See you in court,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Asyraf Wajdi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo dengan menyaman beliau sebanyak RM1 juta berhubung dakwaan fitnah kononnya beliau menyalahgunakan dana MARA.
Beliau menegaskan bahawa tidak ada satu sen pun daripada wang MARA digunakan untuk tujuan ibadah korban.
Sebaliknya, ramai pihak tampil menyumbang untuk tujuan sedekah kepada penduduk Gerik dan salah satu lembu korban merupakan sumbangan peribadi beliau kepada MARA daerah yang sama.
Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang urusan tender MARA sepanjang memegang jawatan di agensi itu. – UMNO Online