Junjung Titah: Kerajaan Negeri Johor Akan Pastikan Segala Pelaksanaan Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kerajaan Negeri Johor akan terus berusaha untuk memastikan segala pelaksanaan agenda bagi memajukan negeri tersebut berjalan dengan lancar, telus dan berimpak tinggi demi manfaat rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebooknya menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan keprihatinan terhadap rakyat di negeri tersebut.

“Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap kebajikan Bangsa Johor dalam aspek kesihatan, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan keperluan asas rakyat.

“Berhubung pembukaan Hospital Pasir Gudang, Kerajaan Negeri memohon dan merayu agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera mempercepatkan penempatan petugas kesihatan, melengkapkan fasiliti serta mengisi kekosongan jawatan agar hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya.

“Selain itu, isu kekurangan kakitangan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan lain-lain hospital yang berdepan isu ini perlu juga diambil perhatian.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berkerjasama erat dengan KKM agar akses perkhidmatan kesihatan rakyat Johor sentiasa terjamin dan bertambah baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mengadakan sesi libat urus bersama setiap pelabur dan syarikat-syarikat di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk merealisasikan inisiatif penawaran gaji minimum yang lebih kompetitif.

“Seterusnya, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan akan terus mengadakan sesi libat urus bersama setiap pelabur dan syarikat-syarikat di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk merealisasikan inisiatif penawaran gaji minimum yang lebih kompetitif, termasuk sasaran RM4,000 kepada graduan baharu.

“Perkara ini sedang diperhalusi melalui Johor Talent Development Council (JTDC). Ini adalah langkah strategik untuk menjamin kesejahteraan pekerja tempatan dan menarik bakat-bakat berkualiti tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Johor,” katanya lagi.

Jelasnya, perancangan pembangunan sumber air mentah berskala besar menjelang 2060 membuktikan komitmen jangka panjang Kerajaan Negeri Johor untuk menjamin kelangsungan bekalan air kepada rakyat dan sektor industri.

“Dalam pada itu, isu bekalan air sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Johor amat menghargai sokongan Kerajaan Persekutuan melalui kelulusan projek-projek infrastruktur bekalan air baharu yang akan meningkatkan kapasiti agihan air terawat khususnya di kawasan strategik seperti JS-SEZ.

“Pada masa sama, perancangan pembangunan sumber air mentah berskala besar sehingga 2,000 JLH menjelang 2060 membuktikan komitmen jangka panjang Johor untuk menjamin kelangsungan bekalan air bagi rakyat dan sektor industri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat adalah nadi dan keutamaan Kerajaan Negeri Johor dalam menjayakan Agenda Maju Johor 2030.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memastikan segala pelaksanaan berjalan lancar, telus dan berimpak tinggi demi manfaat seluruh Bangsa Johor. Sesungguhnya, kesejahteraan rakyat adalah nadi dan keutamaan Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap rakyat Johor menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, berpendapatan tinggi dan akses bekalan air yang mencukupi demi kehidupan yang lebih baik.

“Semoga segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan aspirasi besar yang digariskan di bawah Agenda Maju Johor 2030 dapat direalisasikan sepenuhnya dalam membawa negeri Johor menuju pembangunan seimbang, mampan serta inklusif. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79