Meminta Maaf: Bukti Presiden UMNO Terbuka Dan Berjiwa Besar – Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata bahawa sebagai manusia yang tidak sempurna, kekhilafan dalam tutur kata adakalanya berlaku ketika menyampaikan mesej dan menzahirkan tekanan yang dihadapi sebagai seorang pemimpin.

Namun katanya, yang lebih penting daripada kesilapan itu ialah cara seseorang memikul tanggungjawab selepas menyedari kesilapannya.

“Kami menyambut baik serta menyanjung tinggi tindakan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang secara terbuka memohon maaf berhubung kenyataan beliau yang menyentuh tentang perumpamaan ‘malaikat’ dalam satu ucapannya baru-baru ini.

“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan sifat kepimpinan yang sejati terbuka menerima teguran, berjiwa besar mengakui keterlanjurannya dan dengan rendah hati memohon kemaafan tanpa berdolak-dalik.

“Inilah contoh pemimpin yang memahami nilai amanah dan yang lebih utama memiliki kekuatan rohani untuk membetulkan kesilapan dengan ikhlas ,” katanya kepada UMNO Online.

Hasmuni yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu menegaskan kenyataan beliau yang menjunjung tinggi nilai Islam, memohon ampun kepada Allah dan memohon maaf kepada rakyat dengan penuh rendah hati adalah satu cerminan bahawa UMNO dipimpin oleh individu yang matang, insaf dan berintegriti.

“Sikap ini wajar dihormati dan bukan dipertikaikan. Meminta maaf bukan tanda kelemahan, sebaliknya ia adalah tanda kematangan dan keikhlasan seorang pemimpin yang benar-benar meletakkan prinsip di hadapan ego.

“Dalam suasana politik yang sering dipenuhi dengan retorik dan persepsi, tindakan Presiden UMNO ini memberi isyarat jelas bahawa beliau tidak menjadikan kuasa sebagai pelindung diri, sebaliknya sebagai tanggungjawab untuk terus memperbaiki dan memimpin dengan nilai-nilai yang luhur,” jelasnya.

Hasmuni percaya pendekatan yang matang dan beradab dalam berpolitik perlu dijadikan budaya baharu dalam landskap politik tanah air, seiring dengan kematangan demokrasi negara.

“Kami percaya, sikap keterbukaan ini harus dijadikan teladan oleh semua, bukan sahaja dalam kalangan ahli politik tetapi juga dalam kehidupan seharian sebagai rakyat Malaysia yang bertamadun.

“Semoga Allah SWT terus membimbing pimpinan UMNO dan seluruh rakyat agar sentiasa berada di atas jalan kebenaran, bersikap adil, dan menjunjung tinggi adab dalam setiap tindakan dan tutur kata,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79