UMNO Melaka Depani Cabaran, ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat’ Bukti Kesungguhan
TANGGA BATU, 9 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin menyatakan keyakinan bahawa semangat ahli UMNO khususnya di Melaka semakin membara dalam mendepani pelbagai cabaran termasuklah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh 14 bulan lagi.
Menurut beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka, kesungguhan para pemimpin UMNO dari peringkat Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden serta ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang turun padang ke seluruh negara sepanjang musim mesyuarat parti membuktikan iltizam tinggi untuk UMNO kembali mendapat mandat rakyat.
“Alhamdulillah, saya lihat ramai pemimpin parti turun ke seluruh pelusuk tanah air bagi mengembalikan semangat perjuangan dalam kalangan ahli dan perwakilan. Di Melaka sendiri, kita dapat rasakan gelombang kebangkitan UMNO semakin kuat,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menyentuh dakwaan dan fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang, menyifatkannya sebagai lumrah dalam politik, namun yakin rakyat Melaka kini sudah cukup matang untuk menilai prestasi sebenar pemimpin mereka.
“Mereka tahu siapa yang bekerja dan siapa yang hanya pandai menabur janji. Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selaku Ketua Menteri Melaka telah berusaha keras membawa pelabur dan menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan yang berjaya, dengan nilai pelaburan berbilion ringgit,” ujarnya.
Rais juga menekankan kejayaan program ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat’ yang digagaskan oleh Ketua Menteri Melaka sebagai antara pendekatan ampuh mendekatkan kerajaan kepada rakyat secara langsung.
“Program ini bukan sahaja menyaksikan kehadiran wakil rakyat, malah melibatkan semua agensi dan jabatan kerajaan yang berkampung selama dua minggu di kawasan terpilih bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat secara terus,” jelasnya.
Mengambil contoh di DUN Bemban, beliau memaklumkan sebanyak 180 program dilaksanakan sepanjang tempoh program, termasuk menangani isu banjir secara menyeluruh melibatkan perancangan jangka pendek hingga panjang.
“Kita mahu setiap agensi tampil bersama rakyat. Ini bukan retorik, tapi pelaksanaan menyeluruh. Wakil rakyat kita bergerak seolah-olah dalam fasa pilihan raya kecil kerana kesungguhannya.”
Rais juga menyeru seluruh ahli dan penyokong UMNO agar terus bersatu, mengukuhkan semangat, serta bersiap sedia menghadapi cabaran mendatang demi mengembalikan maruah parti keramat orang Melayu itu.
“Inilah masanya untuk kita berpadu tenaga, bersama kepimpinan dari Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hingga ke peringkat akar umbi, untuk mengembalikan kekuatan UMNO dan memastikan kemenangan Barisan Nasional di PRN Melaka kelak,” katanya lagi. – UMNO Online