Santuni Masyarakat, Selami Hasrat Seiring Aspirasi Kerajaan Negeri – Norshida

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Wanita UMNO Segamat terus berperanan sebagai mata dan telinga kepada masyarakat setempat menerusi pelbagai perlaksanaan seiring dengan hasrat kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketuanya, Datuk Norshida Ibrahim berkata aktiviti ziarah yang dilakukan menerusi semangat dan kerjasama berpasukan rakan-rakan lain membolehkan program berkenaan dilaksanakan dengan sebaiknya.

Bagi beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Johor, aktiviti berkala itu bukanlah sekadar lawatan semata-mata sebaliknya mengeratkan lagi ukhuwwah yang sedia terjalin selain dapat menyelami permasalahan masrakat.

“Alhamdulillah, satu aktiviti ziarah yang penuh makna, sebagai kesinambungan daripada mesyuarat bahagian yang telah selesai. Aktiviti ini seperti mana saranan Menteri Besar, yang mahu kita turun padang dan melihat sendiri keperluan masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian.

“Dengan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan wanita kesayangan saya, kami telah menjalankan misi ziarah ke 13 rumah yang memerlukan perhatian.

“Aktiviti ini lebih dari sekadar lawatan; ia merupakan satu penghayatan terhadap tanggungjawab sosial dan komitmen kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, termasuk bayi, individu dengan keperluan khusus (OKU), dan keluarga di dalam keadaan sukar,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah selain menyampaikan sumbangan keperluan dan sebagainya, permasalahan yang dihadapi oleh mereka dapat diselami sebaiknya sekaligus dapat berinteraksi secara lebih dekat.

“Dalam ziarah ini, kami telah meluangkan masa di setiap rumah yang dikunjungi. Kami berinteraksi dengan keluarga dan mendengar kisah hidup mereka. Selain menyampaikan sumbangan, kami juga berusaha untuk memahami keadaan mereka dengan lebih mendalam.

“Setiap senyuman dan rasa terima kasih yang diterima menjadi penguat semangat kepada kami untuk terus berbakti.Semuga setiap usaha kecil yang dilakukan, jika dilakukan bersama-sama dan berterusan akan membawa perubahan yang besar di Dun Jementah insya-Allah.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama Ummi Hajar, Kak Rozita Hashim serta pasukan wanita yang penuh dedikasi dan bersemangat. Mr Ann Giap See, Ketua Kampung dan Ketua Cawangan turut sama menyokong program kami ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79