UMNO Perlu Tawar Agenda Baharu Demi Kestabilan Dan Kemakmuran Rakyat – Mahadhir

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman menegaskan bahawa UMNO perlu tampil dengan tawaran baharu yang benar-benar meyakinkan rakyat, seiring dengan usaha memperkukuh parti yang kini disepakati oleh semua peringkat kepimpinan.

Menurut beliau, walaupun usaha pemerkasaan parti sedang giat dijalankan, namun keutamaan sebenar yang perlu diberikan perhatian adalah keperluan dan harapan rakyat terhadap kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berterusan.

“Kita tidak boleh hanya bercakap soal memperkuatkan parti semata-mata. Rakyat hari ini lebih bijak, lebih matang. Mereka sudah melihat semua parti-parti politik yang pernah mentadbir negara dalam pelbagai gabungan. Maka mereka boleh menilai dengan jelas siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Segambut pada Ahad. Persidangan teesebut dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mahadhir turut menegaskan bahawa UMNO perlu kembali menjadi parti yang mendengar denyut nadi rakyat, serta menawarkan solusi konkrit terhadap masalah harian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik dan keselamatan sosial.

“Kestabilan yang rakyat mahukan bukan sekadar dari sudut politik, tetapi juga dari segi ekonomi, kestabilan hidup harian, dan keyakinan terhadap masa depan. Kemakmuran pula bukan hanya bermakna angka pertumbuhan, tetapi juga peluang serta jurang yang dirapatkan, dan rakyat yang sejahtera di semua lapisan.”

Tambah beliau, UMNO perlu berani menampilkan agenda transformasi yang lebih segar dan progresif iaitu tidak hanya bergantung kepada nostalgia silam atau kejayaan terdahulu, tetapi mampu membina kepercayaan baharu dalam era politik moden yang serba pantas dan mencabar.

“Rakyat hari ini tidak terikat kepada satu parti sahaja. Mereka melihat prestasi, integriti dan keikhlasan. Maka, tawaran baharu UMNO mesti berdasarkan kepada kejujuran, ketelusan, dan iltizam untuk memperbaiki sistem sedia ada yang sudah tidak lagi relevan.”

Beliau menyarankan agar kepimpinan parti di semua peringkat terus mengaplikasi turun padang yang bukan hanya untuk meraih sokongan, tetapi benar-benar mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

“Inilah waktunya UMNO membuktikan bahawa kita bukan hanya parti lama, tetapi parti yang masih relevan dan mampu memimpin masa depan. Jika kita ingin terus dipercayai, maka kita perlu membina keyakinan itu melalui tindakan malah bukan hanya janji.”

Dengan kesedaran politik rakyat yang semakin tinggi, Mahadhir menekankan bahawa masa depan UMNO bergantung kepada kesanggupannya untuk berubah secara jujur dan berani dalam memberi nilai tambah kepada rakyat, bukannya sekadar bergantung kepada semangat kebersatuan dalaman sahaja. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79