Wanita UMNO Terus Khidmat Bakti, Depani Dinamika Politik
KUALA PILAH, 21 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan keberadaan dalam Kerajaan Perpaduan memberi kelebihan kepada UMNO untuk terus melaksanakan khidmat bakti kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata komitmen dalam membela nasib rakyat itu dilakukan berterusan mendepani pola politik yang kian berubah.
“Penting untuk kita menjadi sebahagian daripada kerajaan, sedikit sebanyak peruntukan yang ada boleh bantu.
“Malah selepas ini perlu bersedia menghadapi pilihan raya yang kita pun tidak pasti bila.
“Gerak kerja kena teruskan mulakan sekarang perlu tarik pengundi kerana zaman telah berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian sempena Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah di Dewan Dato’ Bahaman yang berlangsung di sini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim; Timbalan ketua, Datuk Adnan Abu Hassan; Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid serta kepimpinan lain.
Noraini dalam pada itu menegaskan bahawa pendekatan baharu perlu dilakukan dalam memperkukuh gerak parti di samping meneruskan politik bakti kepada rakyat.
“Bila hendak perang dalam pilihan raya ini macam masak gulai kawah api kalau terlampau kuat jadi hangit, perlahan lambat pulak masak jadi kena hati-hati.
“Kena tahu macam mana hendak kawal api, begitu juga dengan api semangat perjuangan kita dalam UMNO.
“… yang penting kita terus mendekati rakyat, perlu ada formula yang kukuh supaya apa juga ramuan yang dihidang kepada bahagian menjadi. Insya-Allah saya percaya di Kuala Pilah ia tidak menjadi masalah kerana keharmonian itu nampak nyata,” ujar beliau. – UMNO Online