Dr Akmal Mohon Kembalikan GEG Demi Generasi Akan Datang
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berharap kerajaan dapat mengembalikan semula cadangan usul berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) di Dewan Rakyat.
Menurut beliau ini kerana penjualan cecair vape secara terbuka adalah kesan daripada kerajaan yang mengeluarkan vape daripada Akta Racun.
“Sebab itu dari dahulu kita konsisten untuk bawa GEG (generational end game) untuk memastikan generasi mendatang ini dapat dikawal ketagihan dadah dan Vape.
“Tetapi sayangnya GEG ini tidak dibawa dan diluluskan di Dewan Rakyat.
“Malah kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan vape dari akta racun dan menyebabkan penjualan vape semakin berleluasa akibat tiada akta yang boleh mengawalnya,” katanya.
Dr Akmal berkata demikian pada hantaran di Facebook berkongsi respon beliau berkenaan kebimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan ketagihan dadah dan vape.
Menurut beliau lagi, GEG penting bagi kesihatan generasi masa hadapan negara terpelihara.
“Mohon YAB PMX (Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kesepuluh) untuk melihat kembali cadangan usul untuk GEG agar boleh diluluskan di Dewan Rakyat demi untuk masa depan generasi mendatang,” ujar beliau. – UMNO Online