Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Bukti Keberkesanan Politik Stabil
KEJAYAAN penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini telah menjadi manifestasi paling jelas terhadap kemampuan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk mentadbir negara secara berkesan, berwibawa dan berpandangan jauh dan mengutamakan kelangsungan masa hadapan.
Diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan didukung oleh barisan kepimpinan yang inklusif merentas parti, termasuklah Barisan Nasional/UMNO, sidang ini bukan sekadar satu acara diplomatik malah ia adalah lambang kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran negara.
Sebagai hos kepada sidang serantau yang sangat berprestij ini, Malaysia menerima pujian dan pengiktirafan daripada pemimpin negara-negara ASEAN serta rakan strategik antarabangsa.
Turut memainkan peranan penting ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sentiasa menyokong usaha memperkukuh kerjasama antara kementerian dan agensi bagi menjayakan sidang ini.
Segala urusan protokol, keselamatan, perbincangan dasar, penganjuran majlis dan sesi dua hala berlangsung dengan begitu lancar dan teratur, membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan mampu mengurus negara dalam suasana politik yang kompleks dengan penuh profesionalisme.
Keseimbangan dalam Kerajaan Perpaduan dimanfaatkan melalui pelaksanaan platform ASEAN yang bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan antara negara-negara Asia Tenggara, tetapi turut menekankan kepentingan keadilan sosial, ekonomi, kemampanan pembangunan, serta perpaduan serantau dalam mendepani cabaran global.
Melalui persidangan ini suara Malaysia diangkat dalam isu-isu sejagat, termasuk konflik kemanusiaan, keselamatan makanan, perubahan iklim, serta usaha mengurangkan jurang pembangunan antara negara-negara anggota. Pendekatan yang berlandaskan prinsip keterangkuman dan kerjasama membolehkan Malaysia tampil sebagai pemimpin serantau yang disegani.
Kehadiran dan penglibatan aktif Perdana Menteri bersama dengan timbalan dan barisan menteri kabinetnya dalam perbincangan strategik serta sesi pertemuan dua hala menunjukkan komitmen padu Kerajaan Perpaduan dalam menjamin kesepaduan antara semua komponen kerajaan, tanpa mengira latar belakang politik.
Apa yang pasti, kestabilan yang wujud hari ini adalah hasil kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan yang kemudian dibawa antara pemimpin-pemimpin utama negara ASEAN, dan ia telah diterjemahkan dalam bentuk kejayaan penganjuran sidang yang begitu tersusun, berprestij dan berimpak tinggi.
Kejayaan ini menjadi asas penting kepada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, yang akan digalas dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Ia adalah tema yang mencerminkan aspirasi Malaysia untuk menjadi jambatan antara pelbagai kepentingan dari geopolitik hingga ke ekonomi, daripada kuasa besar hingga ke negara membangun. Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, yang akan menjadi detik penting dalam memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara, negara-negara Teluk, dan China.
Lebih penting, kejayaan penganjuran ini menghantar mesej yang kuat kepada dunia bahawa Malaysia, di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan, adalah sebuah negara yang stabil, bersatu dan bersedia untuk memainkan peranan utama dalam pentas serantau dan global.
Kejayaan ini bukan hanya hasil usaha individu, tetapi simbol kepada satu era baharu dalam politik Malaysia, iaitu kestabilan politik dan pentadbiran yang berasaskan perpaduan, kepercayaan dan tanggungjawab kolektif membolehkan negara mara ke hadapan dengan penuh yakin.
ASEAN kekal sebagai platform utama dalam mendepani cabaran serantau dan Malaysia yang diterajui Kerajaan Perpaduan berada di barisan hadapan untuk memimpin, menyatukan dan memperjuangkan masa depan rantau ini dengan visi yang jelas dan tindakan yang berani. Sesungguhnya tidak ada yang mustahil apabila persefaham diangkat mengenepikan kepentingan peribadi dan agenda politik taksub!
EDITOR UMNO ONLINE