Perletakan Jawatan Tengku Zafrul: Iktibar UMNO Depani Cabaran
PERLETAKAN jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada semua jawatan dalam UMNO dan pengumuman hasratnya untuk menyertai PKR adalah satu babak dalam “cerita politik” yang wajar dijadikan iktibar oleh kita semua, khususnya ahli dan pimpinan UMNO.
Pengumuman tersebut yang dibuat secara terbuka di media sosial – termasuk perletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO – memberi gambaran jelas bahawa langkah ini bukan dibuat secara spontan, tetapi telah dirancang lebih awal. Malah, tidak mustahil terdapat ‘sutradara’ di sebalik keputusan politik ini. Apa yang pasti, beliau telah meninggalkan UMNO.
Biarlah Tengku Zafrul terus melangkah dan dipertimbang keanggotaan dalam PKR. Bagi kita di UMNO, barang yang lepas jangan dikenang, namun pengajarannya perlu dimanfaatkan.
Tengku Zafrul adalah seorang tokoh korporat – bekas CEO CIMB Group – yang dilantik menjadi menteri semasa pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional pada tahun 2020. Pelantikannya sebagai menteri mewakili kuota UMNO, pada ketika itu tidak dibincang dengan terperinci dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana telah diketepikan oleh gerakan politik Langkah Sheraton. Dalam istilah mudah, beliau telah ‘sidelined’. Kemudian khidmatnya sebagai menteri disambung dalam Kerajaan Perpaduan atas ‘faktor tertentu’..
UMNO sebelum ini juga pernah melantik tokoh-tokoh teknokrat untuk membantu kerajaan, antaranya:
• Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (bekas Bank Negara),
• Tan Sri Idris Jala (bekas CEO MAS dan Shell),
• Tan Sri Abdul Wahid Omar (bekas CEO Maybank).
Namun berbeza dengan Tengku Zafrul, ketiga-tiga tokoh ini tidak mencampuri urusan parti. Mereka hanya fokus kepada peranan dan tanggungjawab dalam kerajaan, walaupun ada usaha untuk membawa mereka ke dalam kepimpinan parti.
Tengku Zafrul pula telah meletakkan dirinya dalam struktur UMNO, memegang jawatan penting dalam parti tanpa melalui proses biasa yang dilalui oleh ahli lain. Justeru itu, tindakan beliau keluar parti menimbulkan persoalan terhadap ketulenan komitmen beliau terhadap perjuangan UMNO.

Apakah Pengajarannya kepada Kita, Orang UMNO?
1. Jangan ulangi keghairahan melantik tokoh korporat atau teknokrat ke dalam hierarki parti tanpa melalui proses parti. Mereka mungkin mempunyai kemahiran teknikal dan imej yang baik, tetapi belum tentu memahami denyut nadi perjuangan UMNO.
2. Berikan kepercayaan dan peluang kepada tokoh korporat atau profesional yang telah melalui proses parti, yang sudah lama berjuang bersama UMNO walaupun tidak begitu dikenali. Kesetiaan dan kefahaman terhadap asas perjuangan parti lebih penting daripada nama besar atau profil korporat.
UMNO adalah parti perjuangan. Ia lahir daripada semangat kebangsaan untuk memelihara agama Islam, bangsa Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kedaulatan Tanah Melayu. Parti perjuangan tidak boleh dikorporatkan. Namun, sekiranya ada usaha membawa masuk tokoh profesional dari luar, mereka mestilah menepati nilai, semangat dan disiplin perjuangan parti, bukan sekadar tampil dengan reputasi luar yang cemerlang.
BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT
DATUK MD. JAIS BIN SARDAY
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Johor