Memacu Pelancongan, Memperkasa Ekonomi Negara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa sektor pelancongan kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara dan perlu terus diperkukuh sebagai pemangkin pertumbuhan nasional.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bil. 1/2025 yang berlangsung hari ini, dengan tumpuan khusus terhadap hala tuju strategik sektor pelancongan dan kebudayaan.
Menurutnya, mesyuarat kali ini menekankan pendekatan Whole-of-Government, iaitu kerjasama menyeluruh antara kementerian dan agensi kerajaan bagi merangka pelan tindakan bersepadu, terutamanya dalam menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Persiapan rapi sedang giat dijalankan termasuk penyelarasan pelbagai program berimpak tinggi bagi memastikan kejayaan VM2026 yang bakal menjana pulangan besar kepada ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.
Ujarnya, antara inisiatif utama yang turut dibincangkan ialah pelaksanaan Greening Protocol sebagai langkah ke arah pelancongan mampan, serta tujuh program ikonik yang dijangka menyemarakkan semula industri pelancongan tempatan dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
Ahmad Zahid optimis bahawa dengan komitmen padu semua pihak, Malaysia mampu kembali muncul sebagai destinasi pelancongan utama dunia yang bukan sahaja indah dan kaya dengan budaya, tetapi juga mampan dan berdaya saing di peringkat global. – UMNO Online