OKU Dibuli: Gurauan Bukan Alasan, Tindakan Tegas Pasti Diambil – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki amat mengambil berat isu buli yang berlaku di Institusi Pendidikan MARA dan tiada kompromi terhadap pembuli.

Dr Asyraf dalam satu hantaran di Facebook berkata, tindakan tegas pasti akan diambil terhadap pelaku walaupun atas alasan gurauan, apatah lagi mangsa buli adalah orang kurang upaya (OKU).

“Tiada maaf bagi pembuli apatah lagi buli Orang Kurang Upaya. Apa jua alasan termasuk gurauan tidak boleh diterima. Tindakan TEGAS pasti diambil!,” tegas Dr Asyaf lagi yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO.

Manakala di bahagian komen di statusnya itu, tambah Dr Asyraf, beliau telahpun berhubung dan meminta Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA untuk ambil tindakan dengan segera.

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut adalah gurauan kasar sesama pelatih semasa menjalani latihan di GIATMARA Alor Gajah dahulu, kini mereka semua yang sedang menjalani Latihan Industri (LI) dalam Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau juga telah dimaklumkan bahawa Pengurusan GIATMARA Negeri Melaka akan memanggil dan berjumpa dengan semua individu dalam video pada hari esok 5/5/2025 (Isnin) termasuk pelatih yang menjadi mangsa untuk siasatan lebih terperinci mengikut prosedur pengurusan pelatih sedia ada.

Justeru, Dr Asyaf sekali lagi menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal atau mental.

“Tiada tempat buat PEMBULI di mana-mana Institusi Pendidikan MARA samaada di MRSM, GiatMARA, IKM, KM, KPM, KKTM, KPTM, MJII, GMI, UPTM mahupun UniKL.

“Pengurusan MARA di semua peringkat dan IPMA amat memahami prinsip saya ini.

“Tindakan paling tegas pasti akan diambil oleh pihak Pengurusan jika didapati wujud salahlaku dan jenayah buli tersebut,” katanya yang turut meletakkan tanda pagar #YouTouchYouGO dan #TiadaTempatBuatPembuli. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit