Peningkatan Undi PRK Ayer Kuning Bukti Kerjasama BN-PH Beri Manfaat
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memperlihatkan satu perkembangan positif kepada Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh Nik Saiful Adli Burhan.
Terdahulu, calon yang diketengahkan oleh BN iaitu Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Ustaz Yusri Bakir berjaya memperoleh 11,065 undi berbanding calon Perikatan Nasional (PN-Pas) yang hanya memperoleh 6,059 undi.
Kata Nik Saiful, jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, BN ketika itu hanya mendapat 9,088 undi, manakala Pas 6,812 undi dan Pakatan Harapan (PH) 6,875 undi.
“Keputusan ini adalah bukti jelas kepercayaan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan hari ini, khususnya dalam kalangan pengundi tradisional BN dan PH. Ia juga memperlihatkan bahawa apabila pendekatan kerjasama ini direncana dengan strategi yang betul, potensi kejayaan BN-PH dalam PRU akan datang semakin cerah, terutamanya di kawasan-kawasan yang sebelum ini sukar untuk dimenangi secara bersendirian.
“Setiap keputusan PRK seperti ini penting untuk dinilai dengan teliti, bukan sekadar untuk meraikan kemenangan, tetapi untuk memastikan UMNO dan BN terus menerima manfaat jangka panjang termasuk pengukuhan kepercayaan di kalangan pengundi atas pagar dan penyokong setia PH.
“Biarlah segelintir pemimpin dan penyokong tegar Pas dan Bersatu sahaja terus meratibkan istilah ‘UMDap’ dalam ‘zikir politik’ mereka. Mereka ada tok guru untuk menghalalkan retorik itu. Tetapi realiti di lapangan menunjukkan bahawa rakyat kini lebih memikirkan soal kestabilan politik dan kemakmuran negara daripada melayan propaganda sempit,” katanya kepada UMNO Online.
Nik Saiful yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan menjelaskan kerjasama BN dan PH ini, jika terus diperkasakan dengan keikhlasan dan strategi berkesan, pasti akan menjadi penentu besar dalam landskap politik negara akan datang.
“Kerjasama BN dan PH tidak mengalihkan sokongan penyokong mereka kepada Pas, seperti yang dicanang oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, ia berjaya menarik undi daripada penyokong PH untuk mengukuhkan kemenangan BN.
“Ini dibuktikan dengan pertambahan hampir 2,000 undi kepada BN, sementara Pas mengalami penurunan undi, daripada 6,812 kepada 6,059, satu penurunan hampir 800 undi,” jelas beliau.
Ujarnya, pengurangan undi Pas ini boleh ditafsirkan sebagai tanda bahawa sebahagian daripada penyokong Pas sendiri mungkin memilih untuk menyokong BN dalam PRK ini.
Untuk rekod, pada PRK itu Dr Ustaz Yusri menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Beliau meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online