Kemenangan Bermakna PRK Ayer Kuning Bukti Keyakinan Rakyat, Terima Kasih – Dr Zambry
Tapah, 27 April – Barisan Nasional (BN) menzahirkan rasa syukur atas kemenangan calon mereka, Dr. Ustaz Mohamad Yusri Bakir, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan kemenangan itu sebagai satu amanah besar daripada rakyat, membuktikan keyakinan mereka terhadap komitmen BN untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda pembangunan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Beliau yang mewakili Pengerusi BN, Datuk’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta seluruh anggota Dewan Tertinggi BN dan Friends of BN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengundi di DUN Ayer Kuning atas sokongan padu yang diberikan.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga dihulurkan kepada semua jentera parti yang berkampung sepanjang tempoh kempen, berjuang dengan satu hati untuk memastikan kemenangan calon BN,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan kemenangan BN mempertahankan DUN Ayer Kuning.
Beliau turut mengiktiraf kerjasama erat daripada Pakatan Harapan yang menyumbang kepada kejayaan tersebut, mencerminkan keutuhan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr. Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Barisan Nasional Negeri Perak, dipimpin oleh Datuk Seri Saarani Mohamad, dengan menyifatkan kemenangan ini sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap prestasi cemerlang Kerajaan Madani Negeri Perak.
Dengan mandat besar ini, katanya, BN bertekad untuk terus memperjuangkan politik kesederhanaan, memperkukuhkan perpaduan rakyat, dan menggerakkan segala potensi untuk membina masa depan negara yang lebih gemilang. – UMNO Online