Ahmad Zahid Hargai Komitmen Jentera Pilihan Raya Ayer Kuning
BAGAN DATUK, 27 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan kempen pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, menzahirkan terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, atas kepimpinan beliau dalam mengetuai jentera pilihan raya kecil terbabit.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang telah mengetuai jentera pilihan raya dan tahu beliau telah meletakkan keutamaan Ayer Kuning ini sejak dari bulan puasa lagi dan tentulah penat lelah membuahkan hasil.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera negeri Perak, bahagian-bahagian dan terutamanya dari jentera bahagian Tapah yang telah bertungkus- lumus dan juga jentera-jentera negeri yang membantu sepanjang kempen pilihan raya.
“Saya mengucapkan terima kasih pada parti-parti komponen BN yang telah menghantar jentera komponen BN dan PH yang telah membantu dengan sepenuh hati,” katanya kepada media di sini, malam tadi.
Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memastikan kelancaran proses pilihan raya di kawasan tersebut.
“Terima kasih juga ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah menjalankan tugas dengan baik, juga kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Insya-Allah Dr Ustaz Yusri akan menterjemahkan komitmen yang telah diberikan oleh Allahyarham Ishsam Shahrudi yang lalu dan akan dipantau bersama-sama Menteri Besar Perak terutamanya prestasi dan perkhidmatan oleh wakil rakyat baharu ini.
“Mudah-mudahan beliau akan terus turun ke bawah menyantuni akar umbi dan semua penduduk di Ayer Kuning dengan terdiri dari pelbagai kaum.
“Rapatkan barisan serta santuni mereka yang belum sempat disantuni. Ini adalah dukungan Kerajaan Perpaduan yang wujud di negeri Perak,” ujarnya.
Untuk rekod BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Untuk rekod BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila Dr Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung. – UMNO Online