Rai Demokrasi… Pengundi Tunai Tanggungjawab Saat-saat Akhir
TAPAH, 26 April – Terdapat segelintir pengundi kelihatan hadir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada saat-saat akhir sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebentar tadi.
Tinjauan UMNO Online di Sekolah Kebangsaan Baru Tiga, Temoh menyaksikan mereka tiba di pusat pengundian untuk menentukan siapakah yang bakal menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu hantaran di Facebook rasminya berkata peratus pengundi keluar mengundi bagi PRK Parlimen Ayer Kuning ini sehingga jam 4:00 pagi adalah sebanyak 54.01 peratus.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Barisan Nasional (BN) telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman