Cuaca Baik, Pengundi Ayer Kuning Laksana Tanggungjawab
TAPAH, 26 April – Keadaan cuaca yang cerah dan baik memudahkan para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung.
Tinjauan UMNO Online mendapati ramai pengundi keluar pada awal pagi untuk mengelakkan kesesakan dan melancarkan proses pengundian.
Di beberapa buah pusat mengundi yang ditinjau, tiada kesesakan berlaku sehingga menyebabkan para pengundi terpaksa menunggu lama untuk mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu hantaran di Facebook rasminya berkata peratus pengundi keluar mengundi bagi PRK Parlimen Ayer Kuning ini sehingga jam 11:00 pagi adalah sebanyak 26.36 peratus.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online