Dr Ustaz Yusri Seru Manfaatkan Mengundi, Hari Penentuan Untuk Ayer Kuning

TAPAH, 26 April – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata cuaca sedikit redup pada ketika ini perlu dimanfaatkan mereka untuk keluar mengundi.

“Saya mengharapkan pengundi Ayer Kuning mengundi lebih awal pada pagi ini. Cuaca redup memudahkan pengundi untuk keluar awal.

“Harapan pada saat kempen diterjemahkan pada hari pengundian hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media usai mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong, hari ini.

Dr Ustaz Yusri dalam pada itu menyifatkan hari ini sebagai penentuan selepas usaha keras dilakukan keseluruhan jentera parti selama tempoh dua minggu kempen.

“Saya selesai menunaikan tanggungjawab saya sebagai salah seorang pengundi di DUN Ayer Kuning pada PRK ini di saluran dua.

“Alhamdulillah berjalan lancar dan baik, mengikut peraturan yang ditetapkan SPR.

“Pastinya hari ini hari penentuan, sebagaimana dinyatakan sebelum ini mempromosi parti supaya pengundi mengundi BN,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Ayer Kuning ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Dr Ustaz Yusri, Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.

Kerusi DUN Ayer Kuning ini mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit