PRK: Dr Ustaz Yusri Selesai Mengundi Di SK Sg Lesong

TAPAH, 26 April – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah hadir ditemani oleh wakil kepimpinan Pakatan Harapan.

Dr Ustaz Yusri kemudiannya masuk ke kawasan pengundian berseorangan pada jam 8.50 pagi dan selesai mengundi pada jam 8.55 pagi.

Beliau turut sama memanfaatkan masa tersebut beramah mesra dengan pengundi yang juga menunaikan tanggungjawab mereka di DUN itu.

Untuk rekod, DUN Ayer Kuning ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Dr Ustaz Yusri ditentang oleh Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.

Sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Kerusi DUN Ayer Kuning ini mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit