Selamat Mengundi, Ahmad Zahid Seru Rakyat Ayer Kuning Tunai Tanggungjawab

TAPAH, 26 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat mengundi kepada semua pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning yang berlangsung hari ini.

Beliau menyifatkan hari ini sebagai detik penting bagi warga Ayer Kuning dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Segalanya kini terletak di tangan anda. Gunakanlah hak dan amanah ini dengan sebaiknya untuk memilih pemimpin yang mampu membawa suara rakyat agar dapat mencorakkan masa depan Ayer Kuning demi sebuah kehidupan yang sejahtera bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendoakan agar segala urusan pengundi dipermudahkan dan proses pengundian berjalan dengan lancar.

“Selamat mengundi saya ucapkan kepada semua,” tambahnya lagi.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir ditentang calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia.

Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit