PRK: Jangan Benarkan ‘Angin Luar’ Masuk Ke Ayer Kuning – Ahmad Zahid

TAPAH, 25 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak akan membenarkan ‘angin luar’ masuk ke kawasan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Beliau yang Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana pada hari pengundian esok mereka perlu memberi kepercayaan kepada calon diketengah BN, Dr Ustaz Yusri Bakir.

“Saya harap kalau ada angin yang masuk dari luar hari ini, malam ini dan esok kita ucapkan terima kasih kepada mereka namun minta maaf… undi hanya untuk Dr Ustaz Yusri yang mewakili kita di Ayer Kuning.

“Esok hari penting untuk kita semua, tok batin beritahu saya peti undi di sini memang dari dahulu Orang Asli undi BN.

“Saya penuh keyakinan pada kali ini apabila dibuka peti undi, Pusat Daerah Mengundi ini memang 100 peratus Orang Asli akan undi Ustaz Yusri Bakir sebagai wakil rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Syawal yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau, pengundi perlu matang dengan memilih calon BN bagi memastikan kesinambungan yang dibawa oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin untuk diteruskan Dr Ustaz Yusri.

Malah katanya, Dr Ustaz Yusri yang disifatkan beliau sebagai orang yang baik mempunyai kredibiliti tersendiri sebagai pemimpin sekaligus berupaya membawa suara rakyat di kawasan ini.

“Arwah telah membuktikan bahawa beliau sangat prihatin terhadap Orang Asli dan rakyat yang lain.

“Saya harap dengan pemilihan Dr Ustaz Yusri beliau akan dapat memberikan kesinambungan perkhidmatan kepada Orang Asli dan rakyat.

“Jangan lepaskan peluang ini kerana yang kita pilih ialah orang yang baik, yang boleh mewakili kerajaan yang diperintah sekarang iaitu Kerajaan Perpaduan di negeri Perak di bawah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.

Beliau yang juga yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah merupakan bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit