MB Perak Seru Rakyat Ayer Kuning Pilih BN, Tolak PN Pencetus Perpecahan

TAPAH, 25 April – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberikan jaminan bahawa kerajaan negeri kekal stabil dan tidak tergugat dengan sebarang cubaan untuk mengganggu kestabilan sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Jika menang di sini, ia akan beri gambaran jelas kepada pelabur bahawa Perak adalah negeri yang stabil dan bersedia untuk pembangunan ekonomi. Kita mahu pastikan kesinambungan pelaburan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika diwawancara dalam segmen Edisi Khas yang disarkan menerusi laman Facebook malam tadi.

Tambah beliau, calon Barisan Nasional (BN) yang diketengahkan iaitu Dr Ustaz Yusri Bakir bukan sahaja memiliki kelebihan akademik dan pengalaman, malah bergelar ustaz serta mempunyai rekod boleh dipercayai dalam kepimpinan.

“Beliau mampu menyambung segala kerja baik yang telah dirancang oleh arwah terdahulu. Calon ini bukan sahaja berilmu, tetapi juga berwawasan. Tak rugi pilih calon ini,” ujarnya lagi.

Saarani turut menyangkal naratif kononnya kestabilan dan perpaduan kaum di kawasan itu mula tergugat, yang menurutnya datang daripada pihak pembangkang terutamanya Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, sewaktu tsunami politik melanda dan banyak kawasan-kawasan UMNO/BN tumbang namun di Tapah adalah sebaliknya apabila kerusi Parlimen kekal dapa MIC sementara DUN Chenderiang pada MCA dan DUN Ayer Kuning kerusi UMNO.

“Di sini, semangat perpaduan antara Melayu, Cina, India dan Orang Asli sudah lama terjalin. Itu menunjukkan bahawa sudah ada asas yang memupuk semangat perpaduan dalam kalangan bangsa.

“Ada juga bangsa-bangsa lain, Pakistan dan Punjabi tapi tak pernah berlaku apa-apa pergaduhan di sini. Jadi dari segi kejayaan BN memupuk perpaduan itu jelas terbukti tapi sekarang Perikatan Nasional (PN) cuba merosakkan perpaduan dengan cuba api-apikan sentimen perkauman, dan ini sangat berbahaya.”

Jelasnya, tujuan PN adalah untuk memecahkan, persahabatan, perpaduan dan persefahaman yang telah lama dibentuk antara kaum dengan menggunakan isu perkauman, bangsa dan sebagainya sedangkan ia sangat bahaya untuk masa depan.

Mengulas isu ladang babi yang dibangkitkan oleh pembangkang, Saarani menjelaskan bahawa isu itu sebenarnya diwarisi daripada pentadbiran terdahulu di mana ketua pembangkang sekarang pernah memegang jawatan Exco yang bertanggungjawab dalam hal tersebut.

“Isu ini bukan semalam atau baru sepanjang tempoh kempen ini tapi dah lama. Satu ketika dahulu kerajaan saya bersama PN menjadi kerajaan, ketua pembangkang sekarang adalah Exco Pertanian yang dibawah portfolio itu ada perternakan. Dua tahun dia jadi Exco tapi dia gagal.

“Sekarang bila BN ambil alih, kita lantik Exco khusus iaitu YB A Sivanesan. Saya telah memberi kebenaran khusus kepada beliau ialah berkaitan hal ini dan beliau bekerja keras, ada banyak yang dibuat, kandang haram dah diuruskan, ada yang dah modenkan… jadi rakyat jangan ingat Kerajaan tak ambil peduli kerana kita sedang bekerja.

“Janganlah bangkitkan isu ini seolah-olah tak ada usaha dibuat. Ia sedang diuruskan oleh kerajaan, maka jangan pilih pihak lain supaya kita boleh teruskan kerja-kerja yang sedang dibuat,” katanya.

Mengenai isu kesesakan jalan akibat jalan sehala, beliau berkata kerja-kerja sedang berjalan dan kebetulan tergendala kerana kematian mengejut wakil rakyat kawasan itu.

“Jangan terpengaruh dengan cerita yang dibuat-buat. Kita sedang buat kerja. Jangan jadikan alasan remeh untuk tidak keluar mengundi. Pilih BN,” tegasnya.

Saarani turut menasihati pengundi di Ayer Kuning agar bijak membuat pilihan dan tidak terpedaya dengan mainan sentimen oleh pihak lawan.

“PAS bawa isu perpecahan kaum, sedangkan di Tapah semangat perpaduan amat tinggi. Jangan biarkan keharmonian ini digugat,” katanya lagi.

PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia). – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit